KUALA LUMPUR 24 Feb — Malaysia Aviation Group (MAG) dan Lembaga Pelancongan Singapura (STB) sekali lagi memperbaharui kerjasama perkongsian strategik bagi memenuhi peningkatan permintaan perjalanan dari Malaysia ke Singapura.
Ia bakal menumpukan inisiatif pemasaran secara bersama dengan tawaran terpilih untuk mengukuhkan daya tarikan Singapura sebagai destinasi penting para pengembara Malaysia, sambil memacu perbelanjaan pelancongan dan jejak ke tarikan utama.
Menurut kenyataan MAG, usaha itu sebagai sebahagian daripada perkongsian yang diperbaharui dengan kedua-dua pihak melancarkan kempen pemasaran destinasi yang menampilkan kru Malaysia Airlines dan Firefly mengalami tarikan ikonik Singapura.
Ini termasuklah Gardens by the Bay, Singapore Flyer, Akuariaum S.E.A Resorts World Sentosa dan tama tema Universal Studios Singapura, Taman Simpanan Hidupan Liar Mandai, serta Muzium Ais Krim.
Dalam usaha meraikan tahun ketiga perkongsian tersebut, kedua-dua organisasi berkenaan akan memperkenalkan faedah perjalanan yang dipertingkatkan untuk para pelanggan MAG, termasuk keistimewaan pas masuk di Singapura.
Inisiatif ini ditetapkan secara strategik untuk mereka dapat memanfaatkan tempoh perjalanan ketika waktu puncak, termasuk cuti akhir tahun, cuti persekolahan dan musim perayaan, serta memastikan akses dan nilai yang lebih besar untuk pengembara.
Langkah ini juga berikutan pengembangan operasi jet Firefly di terminal Subang, dengan pelancaran penerbangan terus ke Changi bermula 25 Mac 2025 serta menyediakan lebih banyak pilihan perjalanan untuk pengembara perniagaan dan percutian.
Ketua Pegawai Komersial Penerbangan MAG, Dersenish Aresandiran, berkata: “Kami berbesar hati untuk meneruskan perkongsian dengan STB dan terus meletakkan Singapura sebagai destinasi penting dalam rangkaian MAG.
"Dalam fasa seterusnya ini, kami teruja untuk mempamerkan tarikan terkenal Singapura sambil menyampaikan nilai yang dipertingkatkan kepada para pelanggan kami dengan produk yang disesuaikan dan promosi eksklusif".
Sementara itu Pengarah Eksekutif Asia Tenggara, STB, Terrence Voon berkata, pihaknya berbesar hati memperdalamkan kerjasama dengan MAG sebagai rakan kongsi syarikat penerbangan yang dipercayai, untuk menawarkan promosi yang berbeza di Singapura.
"Kami berharap lebih ramai pelawat dari Malaysia menempah perjalanan mereka ke Singapura tidak lama lagi, dengan mereka boleh meneroka pengalaman unik dan menemui nilai ditawarkan oleh bandar raya kami yang bertenaga,” katanya. - DagangNews.com








