KUALA LUMPUR 4 Nov – Malaysia berada di landasan kukuh untuk muncul antara pasaran pusat data (DC) yang paling besar dari segi kapasiti di rantau Asia Pasifik menjelang 2026, menurut JLL Malaysia.
Pengurus Pasaran Modal JLL Malaysia (Urus Niaga DC), Sum Chun Kit berkata, ia diunjur naik lebih empat kali ganda mengatasi angka pada tahun depan, berbanding ketika ini hanya 835 megawatt (MW).
Jumlah kapasiti jelas beliau, berpotensi melonjak melebihi 4,000 MW selepas 2026, yang menandakan transformasi besar dalam pembentukan landskap ekonomi digital negara ini pada masa akan datang.
“Pertumbuhan pesat ini menjadikan Malaysia antara pasaran DC paling dominan di Asia Pasifik,” katanya dalam taklimat JLL mengenai laporan suku ketiga perkembangan pasaran tersebut hari ini.
Chun Kit menambah, Lembah Klang kekal sebagai hab utama DC negara, dengan Cyberjaya mengekalkan kepadatan tertinggi dan terus menarik pelaburan berskala besar daripada pemain skala hiper global.
Johor pula muncul sebagai 'titik panas' kedua paling aktif, dengan Nusajaya dan Sedenak Tech Park menawarkan banyak kemudahan infrastruktur tenaga dan air yang mencapai standard taraf global.
Beliau turut mengenal pasti Negeri Sembilan sebagai kawasan baharu tumpuan pembangunan DC, khasnya di Nilai dan Port Dickson, yang menawarkan kedudukan strategik serta harga tanah lebih kompetitif.
"Permintaan DC masih banyak dipacu beban kerja tradisional seperti pengkomputeran awan dan stor data, namun beban kerja kecerdasan buatan (AI) dijangka menjadi pemacu seterusnya," kata Chun Kit.
Buat masa ini ujarnya, DC di Malaysia banyak menyokong kerja tradisional, namun aliran beban kerja AI akan melonjak berlipat kali ganda pada masa depan, menandakan ruang pertumbuhan masih luas.
Dari segi tenaga, JLL Malaysia menjangkakan penggunaan elektrik akan meningkat ketara daripada 3% kapasiti terpasang Semenanjung Malaysia ketika ini iaitu 27,000 MW kepada 20% menjelang 2035.
Selain itu tambah Chun Kit, isu penggunaan air turut diberi perhatian, dengan hanya 18% permohonan bekalan untuk operasi DC berjaya diluluskan sepanjang tahun lalu ekoran masalah kekangan sumber.
"Trend baharu yang dikesan ialah pembinaan loji rawatan air sisa sendiri oleh operator DC di Johor, dan ia dijangka menjadi amalan secara meluas di seluruh negara selepas ini" jelas beliau.
Justeru katanya, pembangunan mampan dan inovasi dalam pengurusan tenaga serta air akan menjadi faktor penentu kepada daya saing sektor DC pada masa depan di Malaysia. - DagangNews.com








