KUALA LUMPUR 6 Feb – Malaysia menjadi antara destinasi utama untuk para pelancong China apabila mencatatkan lima kadar pertumbuhan tertinggi dalam jumlah perbelanjaan perjalanan menerusi penggunaan transaksi Alipay.
Malah ketika sambutan tahun baharu Cina (CNY) kali ini, Alipay merekodkan peningkatan ketara dengan didorong promosi banyak pusat beli-belah di Malaysia yang menyediakan diskaun istimewa ke atas aplikasi tersebut.
Inisiatif itu dilakukan demi mengalu-alukan kedatangan pelancong China dan selain daripada pelaksanaan pengecualia visa selama tempoh tertentu untuk pelawat negara berkenaan, yang diumumkan oleh kerajaan baru-baru ini.
Melalui platform penyelesaian pembayaran mudah alih dan pendigitalan rentas sempadan Alipay+, pengembara China dan pengguna 35 e-dompet lain di Asia dan Eropah, boleh memakai aplikasi pembayaran mereka sendiri.
Kemudahan itu meliputi 66 pasaran tanpa perlu pelanggan menukar mata wang asing dan mengurangkan risiko jenayah kecurian apabila mereka tidak lagi kena membawa wang tunai yang banyak ketika sibuk berbelanja.
Peniaga yang ada fasiliti Alipay+ global telah menyertai Alipay dalam kempen eksklusif CNY bagi menarik pelancong semasa cuti umum terpanjang di China dan menyaksikan transaksi pengguna Alipay di luar negara meningkat.
Rekod selama tiga hari sahaja dari 28 hingga 30 Januari lalu menunjukkan lonjakan 30% berbanding tempoh yang sama pada tahun lepas. Polisi visa yang lebih mesra di destinasi utama juga membawa impak amat ketara.
Di Singapura, jumlah perbelanjaan Alipay meningkat 56 peratus data tahun ke tahun dan Jepun juga muncul tempat digemari, dengan lonjakan 40 peratus dalam perbelanjaan Alipay, didorong dasar visa yang longgar dan yen lemah.
Begitu juga Malaysia, Hong Kong dan Korea Selatan apabila disenaraikan antara lima destinasi teratas. Perjalanan jarak jauh membantu pengguna Alipay membuat 30 peratus banyak transaksi di Eropah sepanjang CNY 2024.
Selain destinasi popular tradisional seperti Britain, Perancis dan Itali, destinasi baharu muncul seperti Switzerland, Austria dan Turkiye turut menyaksikan peningkatan ketara dalam bilangan transaksi Alipay oleh warga China.
Terima kasih kepada rangkaian pedagang global Alipay+ yang pelbagai, para pelancong China semakin mencari pengalaman yang lebih diperibadikan dan bersifat tempatan seperti aktiviti santai membeli-belah dan kegiatan hiburan.
Perbelanjaan Alipay dalam pembedahan kosmetik juga naik 449 peratus tahun ke tahun manakala perbelanjaan makanan melalui aplikasi ini menunjukkan corak positif termasuk pembelian menu pencuci mulut meningkat 54 peratus.
Minat yang lebih tinggi terhadap trend perjalanan tempatan juga mendorong penggunaan perbelanjaan Alipay untuk pengangkutan domestik dengan bas, tren bawah tanah dan kereta api meningkat 139 peratus tahun ke tahun.
Tidak ketinggalan ialah polisi bebas visa dan pilihan pembayaran baharu dengan akaun Alipay yang didayakan sedozen e-dompet luar negara juga menarik pelancong antarabangsa ke China untuk merasai tradisi meriah CNY.
Ia susulan kemas kini dasar itu oleh pemerintah China baru-baru ini diikuti usaha Alipay melancarkan kempen baharu untuk menggandakan bilangan peniaga runcit di seluruh China yang menerima pembayaran pelanggan.
Melalui perkongsian meluas Alipay meliputi Visa, Mastercard, JCB, Discover, Diners Club International dan UnionPay International, pengembara boleh memautkan kad kredit atau debit antarabangsa kepada e-dompet Alipay.
Ini membolehkan urus niasa pembayaran lancar dan perkhidmatan digital pelbagai seperti penghantaran makanan, tempahan hotel serta pembelian tiket kapal terbang dan kereta api untuk mana-mana destinasi di China.
Justeru, antara 28 Januari sehingga 1 Februari lalu, pengembara asing telah membelanjakan 150 peratus lebih menggunakan Alipay di premis runcit di seluruh tanah besar China dan meningkat 200 peratus tahun ke tahun.
Sejak September 2023, penyelesaian Alipay+ menyokong 13 aplikasi ternama untuk memberi perkhidmatan pembayaran kepada para pengguna perayauan mereka merentasi rangkaian pedagang Alipay seramai 80 juta di China.
Hasilnya, ketika empat hari pertama sambutan cuti CNY, bilangan pengguna e-dompet dari luar negara yang melakukan pembayaran di China didapati meningkat agak luar biasa iaitu sebanyak 94 peratus data tahun ke tahun.
Para pengguna aplikasi AlipayHK dari Hong Kong masih mendahului senarai itu sebelum diikuti oleh Touch 'n Go e-Wallet (Malaysia), MPay (Macau), Kaspi.kz (Kazakhstan) dan TrueMoney (Thailand). - DagangNews.com








