Malaysia Airports lancarkan RFI kaji semula model kedai bebas cukai di lapangan terbang | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Malaysia Airports lancarkan RFI kaji semula model kedai bebas cukai di lapangan terbang

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 28 Ogos – Malaysia Airports Holdings Berhad melancarkan Permintaan Maklumat (Request for Information - RFI) bagi menilai semula model konsesi perniagaan kedai bebas cukai di lapangan terbang kendaliannya.

 

Langkah itu merupakan sebahagian daripada kajian strategik syarikat bagi mengenal pasti pendekatan yang berpotensi untuk menawarkan pengalaman peruncitan yang lebih tersendiri dan relevan kepada penumpang.

 

Kajian tersebut akan meneliti peluang untuk meningkatkan perbezaan produk serta pilihan yang ditawarkan, selaras dengan perubahan corak perjalanan dan tabiat membeli-belah pengguna ketika ini.

 

Menilai perubahan keperluan penumpang

Malaysia Airports berkata, kajian itu dibuat sebagai respons kepada perubahan jangkaan penumpang dan tingkah laku membeli-belah yang terus mempengaruhi permintaan dalam sektor peruncitan lapangan terbang.

 

Menurutnya, syarikat itu tidak memulakan kajian tersebut dengan menetapkan terlebih dahulu struktur konsesi tertentu, sebaliknya mahu menentukan pengalaman yang ingin diwujudkan untuk penumpang sebelum mengenal pasti model yang paling sesuai.

 

Satu kajian perbandingan bebas yang dilakukan terhadap lapangan terbang di peringkat serantau dan antarabangsa turut mengenal pasti peluang untuk memperkukuh model sedia ada.

 

Kajian itu juga menonjolkan beberapa pendekatan alternatif yang berpotensi untuk meningkatkan lagi pengalaman peruncitan penumpang di lapangan terbang.

 

Sehubungan itu, Malaysia Airports mengeluarkan RFI bagi mendapatkan pandangan pasaran serta memahami dengan lebih baik pelbagai model komersial dan operasi, keupayaan industri serta minat pelaburan daripada pihak berkaitan.

 

Pendekatan berasaskan data dan pandangan pasaran

Pengarah Urusan Malaysia Airports, Datuk Mohd Izani Ghani berkata selepas RFI bagi perniagaan pengiklanan lapangan terbang yang dikeluarkan baru-baru ini, kajian tersebut memperluaskan tumpuan syarikat terhadap satu lagi bahagian penting dalam persekitaran komersial lapangan terbang.

 

Beliau berkata, walaupun setiap bidang mempunyai keperluan yang berbeza, kedua-dua usaha itu mencerminkan pendekatan lebih menyeluruh Malaysia Airports bagi memastikan tawaran komersial memberi sumbangan bermakna kepada pengalaman penumpang.

 

t

 

"Ini sebabnya kami mengambil pendekatan berasaskan bukti. Kami telah membuat perbandingan terhadap pelbagai model di peringkat antarabangsa dan RFI ini membolehkan kami menguji hasil dapatan tersebut berdasarkan pandangan pasaran serta keupayaan industri.

 

“Pendekatan itu akan memberikan asas yang lebih kukuh kepada Malaysia Airports untuk menentukan model yang paling sesuai untuk penumpang dan lapangan terbang yang dikendalikan dalam jangka panjang,” katanya dalam satu kenyataan.

 

Malaysia Airports menegaskan bahawa RFI berkenaan hanyalah satu proses mendapatkan pandangan dan maklumat daripada pasaran dan bukan proses perolehan atau tender.

 

Belum ada keputusan mengenai model konsesi baharu

Syarikat itu berkata, tiada sebarang keputusan dibuat setakat ini mengenai model konsesi bebas cukai pada masa hadapan atau sama ada Malaysia Airports akan meneruskan sebarang proses perolehan selepas RFI tersebut.

 

Pengendali konsesi kedai bebas cukai sedia ada juga telah dilibatkan sepanjang proses kajian itu, termasuk menerusi sesi perbincangan secara individu sebelum satu sesi dialog bersama diadakan.

 

Sesi tersebut bertujuan menerangkan objektif dan pendekatan RFI, memberikan penjelasan mengenai proses berkenaan serta memberi peluang kepada pengendali untuk mengemukakan pertanyaan dan berkongsi pandangan masing-masing.

 

Malaysia Airports berkata, hasil dapatan daripada RFI akan dinilai bersama keputusan kajian perbandingan dan pertimbangan lain yang berkaitan sebelum pihak pengurusan menyediakan cadangan kepada Lembaga Pengarah.

 

Sebarang cadangan pada masa hadapan akan dibuat berdasarkan data dan pandangan pasaran, dengan pengalaman penumpang kekal sebagai pertimbangan utama.

 

Malaysia Airports turut berkata pihaknya akan terus berhubung dengan pihak berkepentingan yang berkaitan sepanjang proses tersebut dan memastikan kajian itu dilaksanakan secara adil, telus dan objektif.

 

Pihak yang berminat boleh mengemukakan maklum balas secara elektronik dalam format PDF serta Excel bagi maklumat kewangan kepada Unit Strategi dan Pembangunan sebelum tarikh akhir pada 2 Oktober 2026, pukul 5 petang. - DagangNews.com