Malaysia Airlines sambung semula penerbangan terus ke Brisbane selepas dua tahun berehat | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Malaysia Airlines sambung semula penerbangan terus ke Brisbane selepas dua tahun berehat

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 18 April — Malaysia Airlines akan menyambung semula penerbangan terus dari Kuala Lumpur ke Brisbane mulai 29 November 2025, selepas berehat selama dua tahun.


Syarikat penerbangan nasional tersebut menggugurkan laluan Kuala Lumpur-Brisbane pada 27 Mac 2023, sebagai sebahagian daripada semakan perniagaannya yang berterusan ketika itu.


Malaysia Airlines dalam satu kenyataan berkata, Australia merupakan pasaran utama, dengan terdapat kembali peningkatan permintaan daripada pengembara untuk masuk dan keluar.


"Kapasiti tambahan tersebut akan menawarkan sambungan yang lebih baik, fleksibiliti dan pilihan perjalanan secara lancar untuk penumpang di rantau Asia Tenggara," katanya.


Selain itu, Malaysia Airlines katanya, akan memperkenalkan pesawat baharu A330neo bagi laluan terpilih Australia dan New Zealand, yang memberikan keselesaan lebih baik, kecekapan bahan api dan ciri kabin moden.


Laluan tersebut katanya, bakal dilancarkan dengan tambang promosi untuk pelanggan kelas ekonomi serta perniagaan yang masing-masing bermula daripada RM1,999 dan RM8,999 untuk tiket pergi dan balik.


Kembalinya Malaysia Airlines ke Brisbane adalah seiring dengan peningkatan kekerapan penerbangan merentasi rangkaian Asia-Pasifiknya, kerana ia berusaha untuk mengukuhkan ketersambungan globalnya sebagai pintu masuk ke Asia dan seterusnya.


Ia telah meningkatkan kekerapan penerbangan merentasi rangkaian Asia-Pasifiknya, dengan perkhidmatan tambahan ke bandar-bandar popular seperti Sydney, Melbourne, Auckland, Surabaya, Phuket dan Trivandrum.


Malaysia Airlines juga telah memperkenalkan pilihan baharu dalam kelas ekonominya, yang menawarkan lebih banyak pilihan untuk memenuhi keperluan penumpang dengan Nilai Ekonomi, Ekonomi Asas dan Flex Ekonomi.


Nilai Ekonomi termasuk bagasi kabin tujuh kilogram (kg), bagasi berdaftar 20kg, makanan percuma, diskaun kanak-kanak 10 peratus dan tempahan fleksibel dengan bayaran. 


Pengarah Urusan Kumpulan Malaysia Aviation Group Berhad (MAG), Datuk Kapten Izham Ismail berkata, pelarasan lain juga sedang dibuat pada pelan Ekonomi Asas dan Flex Ekonomi.


“Sambil kami terus meningkatkan tawaran, kami tetap teguh dalam komitmen untuk membayangkan semula perjalanan melalui lensa hospitaliti Malaysia, dipandu oleh visi kami untuk menjadi antara syarikat penerbangan terkemuka dunia,” katanya. - DagangNews.com