KUALA LUMPUR 21 Feb — Malaysia Airlines menyaksikan peningkatan sebanyak 130 peratus dalam penerbangan yang dibatalkan sepanjang tahun lepas, kata Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook.
Dalam jawapan bertulis Parlimen, beliau berkata bahawa syarikat penerbangan nasional itu melaporkan pembatalan sebanyak 8,319 penerbangan pada 2024 berbanding 3,612 penerbangan pada 2023.
Beliau juga memaklumkan terdapat sejumlah 7,330 penerbangan ditunda oleh operator penerbangan itu tahun lepas yang menandakan penurunan tiga peratus berbanding 7,557 penerbangan ditunda pada 2023.
AirAsia pula menyaksikan penurunan 23 peratus pembatalan iaitu 39,884 pada 2023 kepada 30,840 pada 2024 serta kejatuhan tujuh peratus penerbangan tertunda iaitu 20,274 pada 2023 kepada 18,825 pada 2024.
Beliau menjawab soalan Datuk Seri Shafie Apdal (Warisan-Semporna) mengenai harga tiket, jumlah aduan, kelewatan dan pembatalan laluan domestik oleh Malaysia Airlines dan AirAsia bagi 2023 dan 2024.
Sementara itu Siew Fook menyatakan bahawa Malaysia Airlines menerima sebanyak 375 aduan pada 2023 dan kemudian bertambah kepada 410 aduan sepanjang 2024, iaitu peningkatan sembilan peratus.
AirAsia pula, adalah sebaliknya ujar beliau, dengan menerima sejumlah 994 aduan pada 2023 dan seterusnya hanya 569 aduan sepanjang 2024, iaitu penurunan sebanyak 43 peratus.
Beliau berkata harga purata bagi tiket domestik ialah RM227 pada 2024 dan RM220 pada 2023, dengan kapasiti penerbangan domestik meningkat sebanyak 1.3 peratus pada 2024 berbanding 2023.
"Harga tiket purata bagi laluan penerbangan destinasi ASEAN pula didapati sebagai turun sedikit daripada RM360 pada 2023 kepada RM358 pada 2024, penurunan sebanyak 0.4 peratus," katanya.
Bagi laluan antarabangsa lain jelas Siew Fook, harga tiket purata didapati menurun daripada RM1,402 pada 2023 kepada cuma RM1,273 pada 2024, atau penurunan sembilan peratus.
Pengurangan ini disebabkan peningkatan ketara dalam kapasiti laluan antarabangsa yang dicatatkan pada 2024, dan menyaksikan peningkatan 22.3 peratus berbanding kapasiti pada 2023.
Beliau berkata, Kementerian Pengangkutan melalui Suruhanjaya Penerbangan Malaysia sentiasa memantau harga tiket, aduan, kelewatan dan pembatalan melibatkan laluan domestik oleh syarikat penerbangan domestik. - DagangNews.com








