KUALA LUMPUR 1 Sept — Malayan Flour Mills Berhad (MFM) mempercepat usaha pemodenan industri penternakan ayam menerusi teknologi digital dan sistem reban tertutup, ketika negara menyasarkan tahap sara diri daging ayam sebanyak 140% menjelang 2030.
Langkah itu diperkukuh menerusi memorandum persefahaman (MoU) antara anak syarikatnya, Dindings Poultry Development Centre Sdn Bhd (DPDC), dengan Jiangsu Huali Co Ltd dari China bagi meneroka penggunaan teknologi dalam operasi penternakan ayam.
MoU yang dimeterai bersempena Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2026 itu menyediakan kerangka kerjasama dan memuktamadkan pemerolehan peralatan penternakan ayam, tertakluk kepada kelulusan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (MAFS).
"Kerjasama ini meliputi penyediaan peralatan dan rumusan teknikal lengkap, serta pemindahan pengetahuan kepada pasukan pendidikan serta latihan teknikal dan vokasional (TVET) DPDC, selain khidmat selepas jualan, penyelenggaraan serta sistem pengurusan penyelenggaraan berkomputer (CMMS)," kata kenyataan MFM.
Timbalan Pengerusi Eksekutif merangkap Pengarah Urusan MFM, Teh Wee Chye berkata industri perlu meningkatkan pengeluaran tanpa menjejaskan biosekuriti dan kecekapan operasi, selaras dengan usaha Malaysia mencapai tahap sara diri daging ayam 140% menjelang 2030.
Menurut beliau, gabungan pengalaman tempatan DPDC dengan keupayaan digital dan teknologi penternakan Jiangsu Huali dapat membantu menyediakan rumusan yang sesuai dengan keadaan operasi ladang tempatan serta digunakan secara lebih konsisten dalam industri penternakan ayam.

Pada masa sama, MFM turut mempamerkan model Dindings Tyson Poultry House (DTPH) di MAHA 2026 yang mengetengahkan teknologi reban tertutup berasaskan kecerdasan buatan (AI) bagi memodenkan aktiviti pembiakan dan penternakan ayam pedaging.
"Berbanding sistem reban terbuka konvensional, teknologi reban tertutup membolehkan persekitaran penternakan dikawal dengan lebih baik, sekali gus membantu pengurusan makanan dan input lain dengan lebih cekap serta meningkatkan produktiviti dan konsistensi pengeluaran," katanya.
Wee Chye berkata, DTPH merupakan contoh praktikal teknologi reban tertutup moden boleh digunakan di peringkat ladang, selain menggalakkan lebih banyak pemain industri beralih daripada sistem konvensional kepada kaedah penternakan berasaskan teknologi.
Usaha pemodenan itu turut menyokong hala tuju kerajaan menerusi Dasar Agro Makanan Negara 2021–2030 (NAP 2.0), Rancangan Malaysia Ke-13 (2026–2030) dan Dasar Keterjaminan Makanan Negara 2030, khususnya dalam memperkukuh pengeluaran makanan domestik.
Secara keseluruhan, kerjasama DPDC dan Jiangsu Huali membuka ruang kepada MFM memperluas penggunaan teknologi dalam rantaian bekalan ayamnya, selain berpotensi meningkatkan kecekapan, biosekuriti dan kapasiti pengeluaran.
MoU itu berkuat kuasa sehingga 31 Ogos 2027, melainkan dilanjutkan melalui persetujuan bersama, manakala terma komersial dan perjanjian mengikat bagi setiap aktiviti akan dirunding secara berasingan. - DagangNews.com








