Malakoff peroleh untung bersih pada 3QFY25 cecah RM28.2 juta, disokong sumbangan projek hijau | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Malakoff peroleh untung bersih pada 3QFY25 cecah RM28.2 juta, disokong sumbangan projek hijau

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 27 NovMalakoff Corporation Berhad mencatatkan keuntungan selepas cukai dan kepentingan minoriti (PATMI) sebanyak RM28.2 juta bagi suku ketiga berakhir 30 September 2025.


Ia menurun 67.5% berbanding RM86.9 juta pada suku sama tahun sebelumnya disebabkan oleh pembayaran tenaga lebih rendah daripada Tanjung Bin Power Sdn Bhd dan Tanjung Bin Energy Sdn Bhd di Johor.


Kemerosotan berkenaan ekoran penurunan harga arang batu diguna pakai (ACP) serta masalah teknikal pada TBE, dengan hasil 3QFY25 mencatatkan RM1,690.5 juta, 23.8% lebih rendah daripada tahun lalu.


"Walaupun perniagaan tenaga menghadapi tekanan, prestasi kumpulan di segmen rumusan alam sekitar melalui Alam Flora Sdn Bhd mencatatkan perkembangan positif," kata Malakoff dalam kenyataan.


Tambah kumpulan itu, jumlah sisa yang berjaya dikutip oleh syarikat perkhidmatan berkenaan jelasnya, adalah meningkat dan PATMI turut bertambah sebanyak 3% berbanding tempoh sama pada 2024.


Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Syahrunizam Tan Sri Samsudin ketika mengulas laporan itu berkata, Malakoff terus mencatat kemajuan yang konsisten dalam menyokong agenda peralihan tenaga negara.


“Surat Pemberitahuan Kerajaan bagi projek solar 470 MW di Larut dan Matang merupakan pencapaian penting yang akan menjadi pembangunan solar tapak tunggal terbesar di Malaysia," jelas beliau.


Kontrak tersebut tambah beliau, dijalankan secara bersama-sama Solarvest Holdings Berhad di bawah Perjanjian Pembelian Tenaga (PPA) berlangsung selama tempoh 21 tahun dengan Tenaga Nasional Berhad.


Syahrunizam berkata, peranan Malakoff turut diperluas di Sarawak melalui projek solar berkapasiti 100 MW dengan SESCO Berhad, menyokong agenda tenaga boleh diperbaharui negeri berkenaan sendiri.


Perkembangan positif berkenaan ujar beliau, dijangka membawa banyak manfaat dari segi limpahan ekonomi termasuk penciptaan pekerjaan, pembangunan bakat, dan peningkatan infrastruktur tempatan.


"Selain itu, projek sisa kepada tenaga (WTE) di Sungai Udang kini memasuki fasa pelaksanaan selepas pemeteraian kontrak kejuruteraan, perolehan dan pembinaan pada 13 November 2025," katanya.


Dengan sinergi bersama Alam Flora, projek ini membuka aliran hasil baharu dan meningkatkan nilai mampan kepada pemegang taruh, selari aspirasi Malakoff membina portfolio tenaga bersih dan lestari.


Kumpulan itu terus menekankan peralihan kepada rumusan tenaga hijau dan pengukuhan perniagaan teras, sambil meraih pengiktirafan Anugerah Tenaga Kebangsaan 2025 dan Anugerah Tenaga ASEAN 2025. - DagangNews.com