Malakoff peroleh kontrak tenaga solar fasa 2 Northport | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Malakoff peroleh kontrak tenaga solar fasa 2 Northport

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 27 Mac - Malakoff Radiance Sdn Bhd, anak syarikat Malakoff Corporation Berhad, mengesahkan komitmen terhadap tenaga mampan melalui kerjasama dengan Northport (Malaysia) Berhad untuk fasa kedua inisiatif tenaga solar.

 

Perkongsian strategik itu menyerlahkan Malakoff Radiance serius menyampaikan rumusan tenaga secara inovatif dan mampan yang memacu penjimatan kos serta faedah alam sekitar untuk aktiviti perniagaan menerusi projek solar atas bumbung di bangunan CT2.
 

Malakof berkata, ia hasil pemeteraian Perjanjian Pembelian Tenaga Suria pada 10 Februari 2025 yang menjana 2,025.81 kWp dan apabila siap, projek yang tidak dinyatakan kos sebenarnya itu akan meningkatkan jumlah kapasiti tenaga solar Northport kepada 4.4 MWp.
 

"Fasa kedua ini dibina berdasarkan kejayaan sistem solar fotovoltaik (PV) atas bumbung 2.4 MWp disiapkan pada Disember 2022. Ia menunjukkan komitmen Malakoff Radiance dan Northport kepada peralihan tenaga boleh baharu (RE)," katanya dalam kenyataan.
 

Mengulas mengenai kerjasama itu, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Malakoff, Anwar Syahrin Abdul Ajib berkata, pencapaian itu menandakan usaha Malakoff Radiance bergerak ke hadapan dengan Fasa 2 atas bumbung baharu di bangunan pelabuhan.
 

"Kami akan terus memainkan peranan penting dalam memacu peralihan negara ke arah sumber tenaga yang lebih bersih dan mampan melalui kerjasama dengan pihak berkepentingan industri utama seperti Northport," katanya dalam satu kenyataan.
 

Melalui Malakoff Radiance, rakan kongsi boleh meningkatkan kecekapan tenaga, mengurangkan kos dan mencapai matlamat kemampanan mereka, tanpa dibebani dengan isu pelaburan awal.
 

Anwar Syahrin berkata, rumusan ditawarkan juga boleh dipercayai dan kos efektif menjadikan peralihan kepada RE lancar, sambil memastikan kejayaan jangka panjang dan fleksibiliti kewangan kepada pelanggan.
 

Malakoff pada masa sama, sedang giat memajukan pertumbuhan inisiatif RE sambil memastikan keselamatan tenaga Malaysia kekal tanpa kompromi melalui tonggak perniagaannya, Malakoff Green Solutions.
 

Syarikat itu telah membina portfolio RE yang mengagumkan sebanyak 173 MW termasuk pelbagai projek seperti Solar Skala Besar, pemasangan solar komersial dan industri, penjanaan kuasa hidro kecil, serta pelaksanaan infrastruktur mobiliti bebas karbon.
 

"Inisiatif ini menyerlahkan komitmen teguh Malakoff terhadap matlamat untuk ‘Meningkatkan Kehidupan, Memperkaya Komuniti’, yang menunjukkan dedikasi syarikat untuk memupuk masa depan tenaga mampan serta berdaya tahan," katanya. - DagangNews.com