Malakoff perlu sumber hasil baharu, imbangi kemungkinan tamat konsesi IPP Tanjung Bin pada 2031 - penganalisis | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Malakoff perlu sumber hasil baharu, imbangi kemungkinan tamat konsesi IPP Tanjung Bin pada 2031 - penganalisis

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 4 SeptMalakoff Corporation Berhad terus mengukuhkan kedudukan dalam sektor tenaga boleh diperbaharui (RE) apabila dipilih dalam pembidaan projek solar berskala besar (LSS).


Penganalisis berpandangan, kejayaan meraih tender loji berkapasiti 470MWac di Perak itu merupakan pencapaian yang dianggap lonjakan penting dalam pelan transformasi strategik kumpulan tersebut.


Menurut CGS International (CGSI), kemenangan terbaharu itu berjaya melonjakkan kapasiti terpasang RE oleh syarikat tersebut sebanyak 3.8 kali ganda kepada 669MW berbanding 173MW pada 2024.


"Ia sekali gus mencapai kira-kira 48% daripada sasaran 1,400MW menjelang 2031 yang ditetapkan di bawah strategi Malakoff 2.0 sendiri," kata firma penyelidikan berkenaan dalam nota kajiannya hari ini.


Sementara itu, Maybank Investment Bank (Maybank IB) turut menyambut baik pencapaian ini, namun menekankan sebahagian momentum tersebut mungkin telah diambil kira dalam harga saham semasa.


Keadaan berkenaan katanya, memandangkan Malakoff mencari sumber hasil baharu bagi mengimbangi penamatan konsesi loji Tanjung Bin Power pada 2031, aset penjana pendapatan terbesar kumpulan.


“Projek ini merupakan yang terbesar setakat ini bagi Malakoff dalam RE dan bakal disokong oleh perjanjian pembelian tenaga (PPA) selama 21 tahun bersama Tenaga Nasional Berhad (TNB),” menurutnya.


CGSI dalam pada itu, menganggarkan projek ini mampu menyumbang hingga RM20 juta keuntungan bersih tahunan bermula FY28, berdasarkan andaian perbelanjaan modal (capex) mencecah RM1.1 bilion.


Maybank IB pula membuat anggaran lebih agresif, dengan potensi sumbangan purata sekitar RM80 juta setahun sepanjang tempoh konsesi jika nilai projek mencecah RM2 bilion dan pulangan dalaman 8%.


Ia menjangkakan peningkatan nilai sekitar 5 sen sesaham daripada diskaun aliran tunai (DCF), manakala CGSI masih menunggu pengesahan sebelum memasukkan unjuran ke dalam model penilaiannya.


"Kami mengekalkan saranan 'tambah' dengan harga sasaran (TP) RM1.20 sesaham dengan menyifatkan saham Malakoff ketika ini diperdagangkan pada paras rendah dalam sejarahnya sendiri," kata CGSI.


Firma itu menjangkakan hasil dividen menarik dan beberapa pemangkin kenaikan lain seperti projek hidro mini, sisa kepada tenaga, serta sambungan daripada tiga loji jana kuasa yang sedia ada.


Sebaliknya, Maybank IB lebih berhati-hati dengan saranan 'pegang' dan TP 90 sen, setelah diambil kira sumbangan 15 sen sesaham daripada projek baharu yang ditawarkan kerajaan, termasuk LSS5+.


"Kami turut menyasarkan Malakoff mampu melaksanakan kadar pembayaran dividennya sekitar 70%, dengan menjana hasil antara 3% sehingga 5%," kata firma tersebut dalam nota penyelidikannya.


Dua firma itu namun menyenaraikan beberapa risiko utama termasuk margin bahan api yang negatif, gangguan operasi loji tidak dijangka, serta ketidaktentuan pelaksanaan projek RE berskala besar.


Secara keseluruhannya, walaupun LSS5+ bukan sekadar pencapaian simbolik bagi Malakoff, pelabur disaran memantau perkembangan lanjut berhubung pelaksanaan projek serta strategi kumpulan itu.


Penilaian itu kata Maybank IB dan CGSI, wajar dalam mengekalkan pertumbuhan selepas tamat aset konvensional utama syarikat terutama yang melibatkan isu kos dan tarif. - DagangNews.com