KUALA LUMPUR 16 Okt – Malakoff Corporation Berhad memilih secara bersyarat Solarvest Holdings Berhad, membangunkan projek solar berskala besar (LSS) 470MW di Larut dan Matang, Perak.
Ia dilaksanakan melalui anak syarikatnya, Malakoff Silver Solar Sdn Bhd (MSSSB) di bawah program solar berskala besar (LSS) 5+ dengan melibatkan subsidiari Solarvest, iaitu Atlantic Blue Sdn Bhd.
Malakoff menyifatkan pemilihan ini sebagai peristiwa penting dalam usaha pengembangan tenaga boleh diperbaharui (RE) syarikat berkenaan serta komitmen ke arah pembangunan tenaga bersih negara.
“Ini adalah projek solar terbesar di bawah LSS 5+ dan menjadi penanda aras baharu bagi sektor solar di Malaysia,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Malakoff, Syahrunizam Samsudin.
Projek ini merupakan sebahagian daripada portfolio RE dilaksanakan Malakoff yang kini berjumlah 768MW, menjadikan kumpulan itu antara peneraju utama dalam agenda peralihan tenaga negara.
Perkembangan tersebut juga katanya, adalah selaras dengan aspirasi Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (Petra) sendiri di bawah Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR).
Majlis pertukaran Surat Penganugerahan Bersyarat (CLOA) antara Malakoff dan Solarvest diadakan bersempena Persidangan dan Pameran Produk dan Teknologi Hijau Antarabangsa Malaysia (IGEM) 2025.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Solarvest, Datuk Davis Chong Chun Shiong berkata, projek ini menyumbang ketara kepada buku tempahan kumpulan mencecah RM3 bilion pada akhir tahun kewangan.
“Kerjasama ini membuktikan kemampuan kami dari segi pelaksanaan teknikal, inovasi dan penghantaran berkualiti tinggi menyokong sasaran Malaysia mencapai 70% campuran RE menjelang 2050,” katanya.
Solarvest tambahnya, menyasarkan banyak lagi kontrak kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) dalam senarai projek LSS serta peluang tambahan lain di seluruh negara. - DagangNews.com








