Malakoff diiktiraf IPP terbaik Asia 3 tahun berturut-turut, sumbang 25% bekalan elektrik negara | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Malakoff diiktiraf IPP terbaik Asia 3 tahun berturut-turut, sumbang 25% bekalan elektrik negara

SURIATI Mohammad Mokhtar (kiri) menerima anugerah bagi pihak Malakoff sebagai Penjana Tenaga Bebas Terbaik Tahun Ini pada Anugerah Enlit Asia 2025 di Bangkok, Thailand. - Foto ihsan Malakoff
Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 10 Sept – Malakoff Corporation Berhad terus mengukuhkan kedudukan apabila sekali lagi diumumkan sebagai Penjana Tenaga Bebas (IPP) terbaik Asia bagi tahun ketiga berturut-turut.


Anugerah berprestij tersebut diterima pada acara Enlit Asia 2025 yang berlangsung di Bangkok, Thailand dan merupakan pengiktirafan terhadap pencapaian luar biasa Malakoff sendiri sepanjang 2024.


Ini termasuk kejayaan membekalkan sehingga 25% daripada keseluruhan bekalan elektrik di Malaysia, cukup dalam memenuhi keperluan satu daripada setiap empat rumah dan premis perniagaan di Semenanjung.


"Ini adalah pengiktirafan terhadap strategi kami dalam membina masa depan tenaga lebih selamat dan mampan," kata Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Malakoff, Syahrunizam Samsudin dalam kenyataan.


Sepanjang tahun lalu, syarikat tersebut berjaya meningkatkan keberkesanan operasi loji dan mengurangkan gangguan yang tidak dirancang menerusi pendekatan penyelenggaraan ramalan dan pencegahan.


Prestasi ini katanya, turut disokong dengan inisiatif kelestarian, termasuk kitar semula 581,307 tan abu terbang dan abu dasar, bahan yang kemudiannya digunakan semula dalam sektor pembinaan.


"Ia meningkat 17% berbanding tahun sebelumnya dan pencapaian ini membuktikan kecemerlangan operasi kumpulan boleh digabungkan dengan aspek tanggungjawab terhadap alam sekitar," tambah Syahrunizam.


Malakoff turut mengorak ke arah tenaga bersih apabila terpilih sebagai calon akhir oleh Suruhanjaya Tenaga bagi membangunkan projek solar berskala besar berkapasiti 470MW di Windsor Estate, Perak.


Usaha berkenaan kata beliau, antara inisiatif penting syarikat tersebut untuk menyokong aspirasi negara ini mencapai sasaran sebanyak 70% kapasiti tenaga boleh diperbaharui (RE) menjelang 2050.


Tahun ini juga menandakan ulang tahun ke-50 penubuhan Malakoff, dan kemenangan ketiga berturut-turut di Enlit Asia memperkukuhkan kedudukannya sebagai pemain utama dan inovator dalam sektor tenaga.


"Malakoff terus memainkan peranan penting menjamin keselamatan tenaga negara, sambil meneraju inisiatif peralihan tenaga rendah karbon untuk masa depan lebih mampan," katanya. - DagangNews.com