KUALA LUMPUR 5 Mei — Status sebagai kontraktor G7 yang dimiliki oleh Gold Li Holdings Berhad dilihat sebagai memberi kelebihan utama, sekali gus mengukuhkan daya saingnya dalam sektor hartanah.
Menurut Malacca Securities, kelayakan gred tinggi itu yang dikeluarkan oleh Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) membolehkannya melaksanakan projek tanpa had nilai kontrak.
Tambah firma penyelidikan itu, situasi berkenaan menawarkan fleksibiliti dan kecekapan operasi yang lebih tinggi berbanding pemaju lain terpaksa banyak bergantung kepada perkhidmatan subkontraktor.
“Keupayaan bertindak sebagai kontraktor utama bagi semua projek membolehkan Gold Li sendiri sudah dapat memastikan kawalan kos dan kualiti pembinaan yang lebih ketat,” katanya dalam nota kajian.
Bagaimanapun ujar Malacca Securities, hasrat syarikat menceburi segmen apartmen bernilai pembangunan kasar (GDV) sekitar RM400 juta bermula 2027 disifatkan sebagai berisiko besar.
Menurutnya, langkah pemaju hartanah dari Muar, Johor itu dinilai masih lagi belum terbukti memandangkan ia melibatkan pasaran baharu yang belum pernah diterokai syarikat tersebut.
Justeru, firma penyelidikan berkenaan menambah, peralihan daripada pembangunan kediaman bertanah kepada apartmen memerlukan keupayaan pelaksanaan berbeza serta tahap penerimaan pasaran semasa.
"Pelabur Gold Li perlu memantau kadar tempahan awal projek, kerana ini merupakan langkah strategik tetapi berisiko dan prestasi awal jualan akan menjadi petunjuk utama kejayaan,” katanya lagi.
Selain itu, Malacca Securities turut menekankan beberapa risiko kritikal termasuk kebergantungan yang tinggi kepada kontrak usaha sama (JV), kelewatan projek dan kemungkinan lebihan kos pembinaan.
Sebarang kelewatan ujar firma penyelidikan tersebut, boleh membawa kepada implikasi kewangan termasuk bayaran pampasan kepada pembeli, sekali gus menjejaskan margin keuntungan kumpulan itu.
Artikel berkaitan: Pemaju hartanah Gold Li lancar IPO pada 13 sen sesaham, dana tumpu projek di Johor
Walaupun Gold Li berdepan dengan risiko tersebut, ia mengunjurkan kadar pertumbuhan pendapatan tahunan terkumpul (CAGR) kumpulan berkenaan sebanyak 13.7% dalam tempoh tiga tahun akan datang.
"Keuntungan bersih teras pula dijangka mampu mencecah antara RM9.5 juta hingga RM11.5 juta, dipacu oleh 13 projek yang sedang berjalan serta pelancaran 28 projek baharu," kata Malacca Securities.
Kumpulan pemaju berkenaan juga tambah firma berkenaan, masih mempunyai bank tanah seluas 19.14 hektar dengan jumlah GDV sekitar RM854.9 juta, memberikan keterlihatan pendapatan jangka sederhana.
Hasil syarikat pula jelas Malacca Securiies, meningkat kira-kira 34.2% kepada RM56.1 juta dalam tempoh kewangan terkini, manakala keuntungan bersih adalah naik kepada sebanyak RM8.7 juta.
"Margin keuntungan selepas cukai (PAT) kumpulan berkenaan turut bertambah baik kepada kira-kira 15.6%, yang mencerminkan pemulihan kualiti pendapatan seiring peningkatan projek siap," katanya.
Oleh itu, ia menetapkan nilai saksama (FV) 14 sen sesaham, iaitu potensi kenaikan 7.7% daripada harga tawaran awam permulaan (IPO) 13 sen berdasarkan nisbah harga kepada pendapatan 7.5 kali.
Penilaian berkenaan tambah Malacca Securities, dianggap wajar berbanding rakan industri, mengambil kira saiz Gold Li sendiri yang lebih kecil serta fokus kepada bandar sekunder di sekitar Johor.
Secara keseluruhan, ia menilai prospek kumpulan itu kekal positif disokong banyak projek dan bank tanah yang kukuh, namun menegaskan pelabur perlu berwaspada terhadap risiko pelaksanaan semasa.
"Perkembangan itu khususnya kemasukan ke segmen apartmen yang menjadi pemangkin pertumbuhan seterusnya selepas penyenaraian di bursa pada 18 Mei 2026," kata firma tersebut. - DagangNews.com








