KUALA LUMPUR 24 Dis – Malacca Securities memulakan liputan ke atas Well Chip Group Berhad dengan saranan 'beli' dan sasaran harga RM2.09 sesaham, yang menawarkan potensi kenaikan 30.6%.
Firma penyelidikan tersebut berkata, perkembangan positif kumpulan tersebut dipacu oleh faktor perniagaan jualan emas dan barang kemas yang lebih kukuh serta perkhidmatan pajak gadai semakin mantap.
Syarikat yang ditubuhkan pada 2006, kini mengendalikan 27 kedai pajak gadai dan empat premis runcit, menawarkan pinjaman berasaskan cagaran dengan kadar faedah tinggi serta perdagangan barang kemas.
"Kami ramal untung Well Chip naik masing-masing 47.1%, 11.2% dan 10.2% bagi tiga tahun kewangan akan datang dijana pertumbuhan buku pinjaman dan pengembangan cawangan," kata Malacca Securities.
Sekitar 23.2% atau RM40 juta daripada hasil tawaran awam permulaan (IPO) saham syarikat itu sudah diperuntukkan untuk pengembangan kedai baharu, dengan lokasi dikenal pasti di Johor dan Melaka.
Usah berkenaan kata firma tersebut, dijangka menambah jumlah cawangan kumpulan itu kepada 33 outlet menjelang akhir FY27, sekali gus dapat meningkatkan jumlah pinjaman dan tiket transaksi.
Selain itu jelas Malacca Securities, harga emas tinggi dijangka terus menjadi pemangkin hasil, memperkukuh keuntungan daripada perniagaan pajak gadai serta perdagangan emas dan barang kemas.
"Well Chip menawarkan pinjaman cagaran emas dengan nisbah pinjaman-ke-nilai (LTV) sehingga 95%, membolehkan pendapatan faedah kumpulan meningkat selari dengan harga emas," tambah firma itu.
Dari segi kewangan, hasil sehingga September 2025 naik 20.2% tahun ke tahun (YoY), didorong oleh aktiviti pajak gadai (+41.0%), walaupun perdagangan barang kemas dan barangan mewah susut 1.2%.
Buku pinjaman sedia ada kumpulan tersebut pula kata Malacca Securities, mencecah kira-kira RM698.6 juta, iaitu yang paling besar antara tiga syarikat pajak gadai tersenarai di bursa tempatan.
Ia percaya pertumbuhan ini akan mengekalkan margin tinggi dan membolehkan pembayaran dividen mencecah 35% daripada keuntungan selepas cukai (PAT), bersamaan hasil dividen 3.4% hingga FY27.
"Kami mendapati Well Chip mendapat kelebihan kedudukan dominan di Johor dengan 36% pasaran, hasil pengalaman panjang pengasas dari ValueMax Group, Singapura, dan operasi berdaya saing," katanya.
Bagaimanapun Malacca Securities menekankan risiko seperti persaingan sengit, turun naik harga emas, isu keselamatan fizikal, dan ketidaktentuan peraturan yang boleh menjejaskan margin.
Dari segi amalan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG), syarikat ini mengamalkan operasi mesra alam serta amat menyokong komuniti melalui pinjaman pendek kepada individu yang memerlukan.
Well Chip jelas firma penyelidikan berkenaan, turut menekankan latihan pekerja, peluang saksama dan keselamatan di tempat kerja, serta mengekalkan standard tadbir urus korporat yang tinggi.
"Secara keseluruhan, kami menilai syarikat ini kukuh dengan prospek pertumbuhan baik, disokong strategi pengembangan cawangan, harga emas tinggi dan margin operasi mampan," katanya. - DagangNews.com








