Majoriti pemegang saham Sunway sokong cadangan pengambilalihan IJM | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Majoriti pemegang saham Sunway sokong cadangan pengambilalihan IJM

Gambar Malay Mail
Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 26 Mac – Sunway Bhd mendapat sokongan majoriti daripada pemegang sahamnya untuk meneruskan cadangan mengambil alih IJM Corporation Bhd, kata Pengasas dan Pengerusinya, Tan Sri Jeffrey Cheah.

 

Beliau berkata mesyuarat luar biasa (EGM) yang diadakan hari ini menunjukkan hampir semua pemegang saham Sunway yang hadir menyokong cadangan pengambilalihan itu.

 

Walau bagaimanapun, usaha itu kini menghadapi halangan utama apabila Permodalan Nasional Bhd (PNB) yang juga pemegang 13.5 peratus saham IJM, telah menolak tawaran Sunway.

 

Penolakan PNB menimbulkan ketidakpastian terhadap kemungkinan Sunway memiliki IJM secara penuh kerana pemilikan 90 peratus diperlukan untuk menutup pasaran saham syarikat tersebut.

 

Beliau berkata, meskipun syarat pengambilalihan sukarela memerlukan lebih daripada 50 peratus saham untuk diterima, penolakan PNB telah mengehadkan peluang Sunway untuk menjadikan IJM syarikat swasta sepenuhnya.

 

Sunway telah mengumumkan tawaran sukarela bersyarat pada 12 Januari lalu, menawarkan RM3.15 sesaham bagi kesemua 3.51 bilion saham IJM yang berada di pasaran.

 

Tempoh penerimaan tawaran itu dijadualkan tamat pada 6 April, namun hasil akhir masih bergantung kepada jumlah saham yang diterima.

 

Dalam perkembangan berkaitan, Sunway mengesahkan bahawa lembaga pengarahnya telah dibersihkan daripada sebarang salah laku oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang sebelum ini meneliti cadangan pengambilalihan itu.

 

Surat rasmi daripada MACC menyatakan tiada tindakan lanjut terhadap pengurusan Sunway kerana tiada bukti penyelewengan atau rasuah.

 

Walaupun mendapat kelulusan pemegang saham Sunway, masa depan pengambilalihan IJM kekal tidak menentu memandangkan terdapat penolakan dari PNB.

 

Keadaan ini menimbulkan spekulasi pasaran mengenai langkah Sunway seterusnya dalam strategi pengambilalihan korporatnya terhadap syarikat pembinaan besar itu. - DagangNews.com