Majoriti pemegang saham Ho Hup tolak pelantikan semula wakil terakhir keluarga pengasas sebagai pengarah | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Majoriti pemegang saham Ho Hup tolak pelantikan semula wakil terakhir keluarga pengasas sebagai pengarah

Oleh HAZIQ HAKIMI

KUALA LUMPUR 1 Dis – Majoriti pemegang saham Ho Hup Construction Company Bhd, menolak pelantikan semula Datin Chan Bee Leng iaitu wakil terakhir keluarga pengasas, sebagai pengarah kumpulan itu.

 

Menurut makluman difailkan syarikat tersebut kepada Bursa Malaysia hari ini, mereka turut menolak cadangan pembayaran yuran pengarah yang keseluruhannya berjumlah RM500,000.

 

Laporan tersebut menunjukkan 17 pemegang saham yang mewakili kira-kira 96.1% undi menentang pelantikan semula Bee Leng, manakala hanya 10 pula bersamaan 3.9% undi yang menyokong.

 

Dalam perkembangan sama, 12 pemegang saham yang mewakili hampir 70% undi turut menolak cadangan bayaran yuran pengarah bagi tempoh Januari–Jun 2025 dan tahun kewangan 2026, manakala 13 pemegang saham dengan 30.08% undi menyokong cadangan tersebut.

 

Penolakan terhadap Chan dan yuran pengarah itu berlaku susulan perebutan kuasa korporat antara keluarga pengasas Low dan Omesti Holdings Bhd.

 

Pertikaian memuncak selepas Omesti mengeluarkan notis pada 22 Oktober bagi mengadakan mesyuarat agung luar biasa (EGM) untuk menyingkirkan dua pengarah eksekutif, Kheng Lun dan Datuk Wong Kit Leong.

 

EGM pada 20 November menyaksikan kedua-duanya digantikan dengan wakil Omesti, Ong Koon Loong dan Bernard Chen Tong Liang. 

 

Sebelum itu, Low Chee Group, kenderaan pelaburan keluarga Low, tidak lagi menjadi pemegang saham utama Ho Hup sejak 16 Oktober. 

 

Setahun lalu, ia memegang 9.09% pegangan, menjadikannya pemegang saham kedua terbesar selepas Omesti dengan 10.89%.

 

Dari sudut prestasi kewangan, Ho Hup yang terus mencatat kerugian sejak 2021 telah diklasifikasikan sebagai syarikat Practice Note 17 (PN17) pada April lalu selepas anak syarikat milik penuhnya, Bukit Jalil Development Sdn Bhd, gagal melunaskan kemudahan pinjaman berjumlah RM112.69 juta, yang dijamin oleh Ho Hup.

 

Bagi suku pertama berakhir 30 Sept 2025, Ho Hup berjaya mengecilkan kerugian kepada RM1.7 juta berbanding RM18.7 juta pada tempoh sama tahun sebelumnya, walaupun pendapatan merosot hampir separuh kepada RM2.2 juta.

 

Bagi tempoh kewangan lanjutan selama 18 bulan berakhir 30 Jun 2025, syarikat merekodkan kerugian bersih RM473.25 juta dengan hasil RM57 juta, selepas menukar tahun kewangan daripada Disember kepada Jun pada Februari lalu.

 

Hari ini saham Ho Hup tidak berubah pada lima sen, meletakkan permodalan pasaran syarikat pada RM26 juta. Sejak awal tahun, saham tersebut telah menjunam 68%. - DagangNews.com