Majoriti besar pemegang saham Malayan Cement memilih semula Francis Yeoh sebagai Pengerusi Eksekutif | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Majoriti besar pemegang saham Malayan Cement memilih semula Francis Yeoh sebagai Pengerusi Eksekutif

FRANCIS YEOH - Foto kredit YTL Foundation
Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 5 Dis – Tan Sri (Sir) Francis Yeoh Sock Ping secara rasmi dipilih semula sebagai Pengerusi Eksekutif Malayan Cement Berhad (MCB) dengan meraih majoriti besar pemegang saham syarikat itu.


Keputusan berkenaan dicapai pada Mesyuarat Agung Tahunan ke-75 di Hotel JW Marriott Kuala Lumpur pada 4 Disember 2025, susulan notis pemberitahuan yang diedarkan bertarikh 31 Oktober 2025.


Proses pengundian disahkan oleh pemeriksa bebas, Mega Corporate Services Sdn Bhd yang dilantik MCB menunjukkan tokoh korporat berusia 71 tahun itu memperoleh 95.29% undi menyokong pemilihannya.


"Jumlah tersebut mewakili sebanyak 1,118,943,120 undi berbanding hanya kira--kira 4.71% yang menolak usul itu atau bersamaan 55,328,165 undi," kata MCB dalam maklumannya kepada Bursa Malaysia.


Kejayaan tersebut mengesahkan keyakinan pemegang saham terhadap kepimpinan beliau dan kekal untuk mempengerusikan semula lembaga pengarah syarikat industri simen yang ditubuhkan sejak 1966 itu.


Francis Yeoh yang berasal dari Kuala Lumpur juga memegang beberapa jawatan penting dalam kumpulan YTL termasuk Pengerusi Eksekutif di YTL Corporation Berhad dan YTL Power International Berhad.


Selain itu, beliau menyandang pelbagai kedudukan penting dalam syarikat utiliti dan pengurusan hartanah antaranya YTL e-Solutions, YTL Starhill Global REIT Management Limited, serta YTL Cement Berhad.


Beliau yang memperoleh anugerah Knight Commander of the Most Excellent Order of the British Empire dengan membawa gelaran 'Sir', juga terlibat dalam banyak aktiviti kebajikan melalui YTL Foundation.


Selain pemilihan semula Francis Yeoh, mesyuarat berkenaan turut meluluskan pemilihan semula Datuk Yeoh Seok Kian dan Profesor Datuk Dr Siti Hamisah Tapsir sebagai ahli lembaga pengarah MCB.


Terdapat sejumlah sembilan resolusi biasa yang dibentangkan syarikat tersebut untuk pengundian korporat dengan kesemuanya berjaya diluluskan secara majoriti besar. - DagangNews.com