TELUK INTAN 20 Jun - Kecekapan operasi Majlis Perbandaran Teluk Intan (MPTI) diperkemaskan menerusi penggunaan sistem digital pengurusan permohonan permit utiliti secara dalam talian.
Dikenali sebagai Koridor Utiliti Darul Ridzuan Atas Talian atau KUDRAT, ia membolehkan pemohon membuat permohonan secara dalam talian sepenuhnya.
MPTI akan mula menggunakan sistem atas talian KUDRAT bermula 1 Julai ini bagi permohonan korek gali utiliti di bawah kawalannya.
Sistem ini dibangunkan oleh Koridor Utiliti Darul Ridzuan Sdn. Bhd. (KUDR) selaku agensi penyelaras bagi permohonan kerja korek gali utiliti melibatkan pelbagai infrastruktur.
Ketua Eksekutif Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNPk) PKNPk merangkap Pengarah Eksekutif KUDR, Datuk Redza Rafiq Abdul Razak berkata, agensi itu bukan mengambil alih peranan pihak berkuasa tempatan (PBT), sebaliknya bertindak sebagai pemudah cara untuk membantu kelancaran penyelarasan kerja teknikal.
Menurut beliau, sistem KUDRAT kini turut digunakan oleh Majlis Bandaraya Ipoh dan Majlis Perbandaran Taiping masing-masing pada Jun 2024 dan Januari 2025 lalu.
“Beberapa PBT lain di Perak menunjukkan minat untuk menggunakan sistem yang sama.
“Langkah ini bukan sahaja mempercepatkan proses kelulusan permit, tetapi turut menyokong pembangunan bandar pintar serta kesejahteraan rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas majlis memeterai memorandum persefahaman (MoU) bersama MPTI bagi penggunaan sistem KUDRAT di sini hari ini.
Pada majlis tersebut MPTI diwakili Yang Dipertuanya, Zairul Akmal Kasim manakala KUDR diwakili oleh Redza Rafiq.
Hadir sama ialah Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri Perak, Sandrea Ng Shy Ching.
Sistem KUDRAT dapat mempercepatkan proses kelulusan permit, mengurangkan kes pertindihan kerja dan mempertingkatkan ketelusan dalam semakan teknikal. - DagangNews.com







