Mahkamah Tinggi Delhi arah audit forensik transaksi Fortis Healthcare, menurut IHH | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Mahkamah Tinggi Delhi arah audit forensik transaksi Fortis Healthcare, menurut IHH

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 1 Sept - IHH Healthcare Bhd memaklumkan Mahkamah Tinggi Delhi telah mengarahkan pelantikan juruaudit forensik bagi meneliti transaksi berkaitan Fortis Healthcare Ltd (Fortis), termasuk perubahan kawalan syarikat itu serta pemerolehan pegangan kawalannya.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, IHH berkata, perintah bertarikh 31 Ogos 2026 itu dikeluarkan berhubung beberapa permohonan yang difailkan oleh Daiichi Sankyo terhadap, antara lain, Fortis dalam prosiding pelaksanaan yang sedang berlangsung di India.

 

Menurut IHH, mandat utama juruaudit forensik adalah menjalankan siasatan berdasarkan fakta berhubung pelupusan pegangan saham milik bekas pemegang saham pengawal Fortis, Malvinder Mohan Singh dan Shivinder Mohan Singh, perubahan kawalan seterusnya ke atas Fortis serta peranan pihak berkepentingan yang berkaitan.

 

IHH menegaskan mahkamah tidak mengenakan sebarang liabiliti, penalti atau denda terhadap syarikat mahupun Fortis menerusi perintah berkenaan.

 

Bagaimanapun, perintah itu turut mengarahkan penelitian terhadap transaksi berkaitan pemerolehan pegangan kawalan dalam Fortis oleh IHH menerusi Northern TK Venture Pte. Ltd. (NTK).

 

IHH berkata pihaknya, NTK dan PPL bukan pihak dalam prosiding pelaksanaan tersebut.

 

IHH berkata pihaknya sedang meneliti perintah tersebut secara terperinci dengan penasihat undang-undang sebelum menentukan tindakan sewajarnya mengikut undang-undang yang terpakai.

 

“Syarikat akan membuat pengumuman lanjut sekiranya terdapat sebarang perkembangan material berhubung perkara tersebut,” katanya.

 

IHH sebelum ini memperoleh pegangan kawalan dalam Fortis menerusi NTK pada 2018. Pemerolehan tersebut menjadi sebahagian daripada pertikaian undang-undang berpanjangan selepas Daiichi Sankyo mencabar transaksi berkenaan dalam usaha mendapatkan semula award timbang tara terhadap bekas pemegang saham pengawal Fortis. - DagangNews.com