Mahkamah Sesyen arah Maybank bayar RM166,000 kepada pelanggan akibat transaksi tidak sah | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Mahkamah Sesyen arah Maybank bayar RM166,000 kepada pelanggan akibat transaksi tidak sah

KUALA LUMPUR 12 Mei - Mahkamah Sesyen di sini memutuskan Maybank bertanggungjawab atas kecuaian dalam memantau akaun pelanggan sehingga menyebabkan kerugian RM166,000 akibat transaksi tidak sah.

 

Hakim Maimoonah Aid membenarkan tuntutan sivil difailkan Chan Yan Li terhadap bank itu dan mengarahkan Maybank membayar ganti rugi RM166,000 serta kos mahkamah sebanyak RM50,000, menurut laporan FMT.

 

Yan Li memfailkan saman tersebut pada 2022 selepas sejumlah RM166,000 dipindahkan keluar daripada akaun pinjamannya menerusi beberapa transaksi antara Jun hingga Julai 2021 tanpa kebenarannya.

 

Menurut fakta kes, Yan Li mempunyai dua akaun dengan Maybank sejak tahun 2000 iaitu akaun pinjaman perumahan dan akaun simpanan.

 

Pada 2021, sejumlah RM166,000 dipindahkan daripada akaun pinjamannya ke akaun simpanan sebelum dana itu dipindahkan keluar kepada beberapa individu tidak dikenali menerusi beberapa transaksi berasingan.

 

Yan Li berkata beliau tidak menerima sebarang makluman SMS atau notifikasi aplikasi berkaitan transaksi berkenaan.

 

Bagaimanapun, pihak bank menegaskan bahawa notifikasi telah dihantar dan transaksi tersebut adalah dibenarkan.

 

Yan Li kemudian membuat laporan polis berhubung kejadian itu.

 

Akaun Keldai

Mahkamah turut dimaklumkan tiga individu yang dikaitkan dengan akaun keldai sebelum ini telah mengaku bersalah atas kesalahan melibatkan penyembunyian harta dan pemilikan barang curi.

 

Dalam penghakimannya, Hakim Maimoonah berkata terdapat percanggahan antara rekod syarikat telekomunikasi dan laporan transaksi yang dikemukakan di mahkamah.

 

Beliau turut mendapati tiada makluman SMS dihantar bagi beberapa transaksi tertentu termasuk transaksi yang berlaku pada awal pagi.

 

“Plaintif bukan pengguna aktif aplikasi Maybank2U kerana beliau hanya menggunakan aplikasi itu untuk membayar kad kredit atau memindahkan wang kepada bapa mentuanya,” katanya.

 

Menurut beliau, laporan Maybank sendiri menunjukkan wang dipindahkan keluar daripada akaun plaintif antara 28 Jun hingga 2 Julai 2021.

 

Hakim Maimoonah berkata aktiviti luar biasa dalam akaun tersebut sepanjang tempoh berkenaan jelas menunjukkan transaksi mencurigakan yang sepatutnya mencetuskan semakan lanjut oleh pihak bank.

 

 

 

 

 

 

“Bank boleh dipertanggungjawabkan sebahagiannya jika ia menutup mata terhadap fakta jelas mengenai ketidakjujuran,” katanya.

 

Peguam K Revathi dan K Gunalan mewakili Chan manakala Izzat Zainal mewakili Maybank. - DagangNews.com