KUALA LUMPUR 6 Mac — Mahkamah Rayuan telah menolak permohonan rayuan seorang pengarah syarikat terhadap sabitan dan hukumannya kerana gagal hadir disoal siasat berhubung kes pengubahan wang haram di hadapan pegawai penyiasat Suruhanjaya Sekuriti (SC).
Amirruddin Nin didapati melakukan kesalahan itu di bawah Seksyen 32(8)(a), Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA) atau Akta 613.
Panel Mahkamah Rayuan yang terdiri daripada Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim, Datuk Mohamed Zaini Mazlan dan Datuk Noorin Badaruddin telah sebulat suara menolak rayuan Amirruddin terhadap sabitan dan hukuman atas pertuduhan pertama.
"Mahkamah Rayuan turut membenarkan rayuan balas daripada pihak SC serta mengekalkan sabitan dan hukuman Amirruddin bagi pertuduhan kedua dan ketiga manakala denda harian bagi kesalahan yang berterusan juga dikekalkan," kata SC dalam kenyataan di sini.
Dalam penghakiman keputusan Mahkamah Rayuan, Noorin menyatakan bahawa tiga pertuduhan terhadap Amirruddin adalah berbeza dan berasingan, dengan kesalahan di bawah seksyen 32(8)(a) AMLATFPUAA merupakan kesalahan liabiliti yang ketat.
Beliau seterusnya menyatakan bahawa Mahkamah Rayuan mendapati bahawa hakim Mahkamah Tinggi telah terkhilaf dalam keputusannya apabila mengetepikan sabitan dan hukuman yang dijatuhkan oleh hakim bicara terhadap Amirruddin.
Sebelumnya, pihak SC, dengan persetujuan Pendakwa Raya, telah mengenakan pertuduhan terhadap Amirruddin selaku Pengarah CTB Solutions Sdn Bhd dengan tiga pertuduhan di bawah seksyen tersebut pada 19 Februari 2020 di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.
Selepas perbicaraan penuh tersebut, Mahkamah Sesyen mensabitkan kesalahan Amirruddin atas ketiga-tiga pertuduhan berkenaan serta menjatuhkan hukuman penjara selama sehari dan denda sebanyak RM100,000 bagi setiap pertuduhan.
Mahkamah berkenaan seterusnya bertindak mengenakan denda harian sebanyak RM2,000 selama 979 hari yang berjumlah RM1,958,000 bagi kesalahan yang berterusan sekiranya gagal dikenakan hukuman 12 bulan penjara.
Kenyataan SC berkata, kesemua kesalahan di bawah Akta 613 tersebut dilakukan oleh Amiruddin antara 15 Jun 2017 dan 18 Februari 2020.
Susulan keputusan Mahkamah Sesyen itu, Amirruddin bertindak memfailkan rayuan ke Mahkamah Tinggi terhadap segala sabitan dan hukuman dikenakan terhadap dirinya.
"Pada 28 Jun 2023, Mahkamah Tinggi mengekalkan sabitan dan hukuman Amiruddin bagi pertuduhan pertama tetapi mengetepikan sabitan dan hukuman bagi pertuduhan kedua dan ketiga," jelas SC.
Mahkamah Tinggi ujarnya, juga mengetepikan denda harian bagi kesalahan yang berterusan dan keadaan tersebut membawa kepada rayuan oleh kedua-dua pihak di Mahkamah Rayuan.
SC menerusi kenyataan itu mengingatkan orang ramai bahawa kegagalan untuk mematuhi notis bertulis yang dikeluarkan oleh pegawai penyiasat SC merupakan satu kesalahan yang boleh dihukum di bawah undang-undang sekuriti.
"Sebarang ketidakpatuhan akan menghalang pihak SC untuk melaksanakan fungsi penyiasatan dan penguatkuasaannya yang penting dalam mengekalkan integriti pasaran modal," katanya. - DagangNews.com








