KUALA LUMPUR 14 Nov – Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) mengorak langkah ke hadapan dengan memulakan Pelan Tindakan Komprehensif (CAP) bagi meningkatkan sistem Aerotrain di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Menurut Pengarah Urusannya, Datuk Mohd Izani Ghani, pelaksanaan pelan itu adalah dalam Tempoh Liabiliti Kecacatan (DLP) dengan program penghantaran (DP) dijadualkan berjalan selama 24 bulan bermula pada 15 November 2025.
Tambah beliau pada sidang akhbar di Hotel Sama Sama KLIA Sepang, CAP ini mewakili langkah tegas MAHB dalam memulihkan semula keyakinan awam melalui pendekatan berstruktur, kerjasama peraturan, dan komunikasi terbuka.
"Fokus kami kekal pada memastikan Aerotrain memberikan kebolehpercayaan dan keselamatan yang diharapkan di pintu masuk antarabangsa seperti KLIA.
"Pelan ini membolehkan kami menangani punca utama gangguan masa lalu secara sistematik sambil menegaskan semula komitmen terhadap keselamatan penumpang dan kecemerlangan perkhidmatan," katanya.
Artikel berkaitan: Krisis Aerotrain KLIA: MAHB tuntut 'tindakan komprehensif' Alstom, IPJV selepas 20 kali rosak pasca naik taraf RM456 juta
Dengan persetujuan Kementerian Pengangkutan (MOT) dan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD), CAP tegas Mohd Izani, akan dilaksanakan dengan perkhidmatan Aerotrain dihentikan sementara selama 10 jam setiap hari dari pukul 9 malam hingga 7 pagi.
Tempoh penutupan harian ini diperlukan untuk melaksanakan pemeriksaan, pengujian, dan pembetulan yang komprehensif merentasi keseluruhan sistem dan subsistem kritikal.
Sepanjang tempoh ini, perkhidmatan bas akan digunakan sepenuhnya untuk memastikan kesinambungan pergerakan penumpang tanpa gangguan antara Bangunan Terminal Utama (MTB) dan satelit.

Pasukan operasi MAHB juga akan berusaha mengoptimumkan pengagihan setiap pintu di MTB dan Bangunan Satelit Terminal 1 bagi mengurangkan keperluan penumpang untuk berpindah.
Mohd Izani turut mengesahkan bahawa walaupun terdapat beberapa insiden gangguan kecil sebelum ini, aliran penumpang sentiasa dikawal dan dipastikan tiada penumpang yang terlepas penerbangan.
Berdasarkan pelan tersebut, ia dibangunkan bersama kontraktor, dan terdiri daripada tiga peringkat berstruktur:
Peringkat 1 (Pemeriksaan dan Pengesahan): Menumpukan pada pemeriksaan, pengujian, penjajaran, dan pengesahan untuk semua subsistem, termasuk bekalan kuasa, komunikasi, SCADA, gateway, peralatan sisi jalan, dan keselamatan. Peringkat ini dijangka mengambil masa kira-kira empat minggu atau sebulan*, dari 15 November sehingga pertengahan Disember.
Peringkat 2 (Ujian Sistem dan Kenderaan): Melibatkan pengujian operasi simulasi dan penambahbaikan yang disasarkan, termasuk kemas kini perisian, penentukuran semula komponen, dan ujian tekanan masa nyata. Fasa ini dijangka mengambil masa kira-kira dua minggu.
Peringkat 3 (Operasi Percubaan): Melibatkan operasi percubaan yang dipantau untuk mengesahkan kesediaan sistem dan kestabilan operasi sebelum penyambungan semula perkhidmatan penuh.
"MAHB juga sedang bekerjasama dengan penilai bebas untuk meneliti dan mengkaji semula sistem Aerotrain secara keseluruhan dalam tempoh sehingga pertengahan Disember 2025," kata Mohd Izani.
APAD pula tambah beliau akan melaksanakan pemeriksaan keselamatan rasmi setelah CAP selesai, namun beliau tidak menyatakan secara spesifik bilakah ujian pada peringkat 3 akan berakhir.

Menyentuh mengenai perancangan masa hadapan dan peningkatan kesibukan KLIA menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026, Mohd Izani mengesahkan bahawa MAHB tidak menolak kemungkinan untuk meningkatkan kapasiti tren.
Tambahnya, penambahan bilangan set tren Aerotrain adalah sesuatu yang telah beliau bincangkan dengan pasukan untuk mengelakkan sekiranya berlaku insiden gangguan pada masa hadapan.
Beliau menjelaskan bahawa sebagai operator, MAHB perlu mula memikirkan mengenai apa yang seterusnya melangkaui tren dan akan terus hadir dengan cadangan untuk memastikan pergerakan penumpang yang lancar antara terminal dan satelit.
Beliau mengesahkan ini adalah sesuatu yang akan dinilai.
Pada masa ini, sistem Aerotrain mempunyai tiga set tren dengan dua set beroperasi serentak pada dua landasan, manakala satu lagi set disimpan di depoh dan digilirkan bagi memastikan jumlah perbatuan yang sekata.
Sejak perkhidmatan disambung semula pada 1 Julai 2025, Aerotrain telah mencatat Ketersediaan Perkhidmatan Operasi (OSA) terkumpul sebanyak 98.41% dengan OSA mingguan terkini direkodkan ialah 99.17%.
Sistem ini telah mengangkut kira-kira tujuh juta penumpang dan melengkapkan lebih 53,000 perjalanan balik.
Mohd Izani Ghani menegaskan bahawa mengikut standard global bagi perkhidmatan rel, OSA kira-kira 99% adalah cemerlang dan bertaraf dunia.
"Hanya empat insiden benar-benar menyebabkan tren terhenti amat serius dalam tempoh empat bulan operasi, manakala yang selebihnya itu hanya gangguan kecil," jelas beliau.
Setiap insiden tersebut adalah disebabkan oleh masalah tidak berkaitan dan berbeza yang dikesan dalam operasi dunia sebenar. - DagangNews.com








