MAHB berjaya kesan serangan siber di KLIA, sistem tidak terjejas | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

MAHB berjaya kesan serangan siber di KLIA, sistem tidak terjejas

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 25 Mac - Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) mengakui berlaku ancaman keselamatan siber yang cuba menyerang sistem komputer tertentu di Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) dan telah dikesan pada 23 Mac 2025.
 

Dalam satu kenyataan bersama dengan Agensi Keselamatan Siber Nasional (NACSA), ia berkata, siasatan menyeluruh kemudian segera dilancarkan bagi menilai sifat dan tahap kejadian susulan insiden tersebut.
 

Agensi yang berkaitan juga telah dimaklumkan dengan pantas, termasuk Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM).
 

Ketua Eksekutif NACSA, Dr Megat Zuhairy Megat Tajuddin ​​berkata, pihaknya telah mengikuti perkembangan dengan teliti sejurus menerima laporan MAHB pada hari berkenaan.
 

"Kami difahamkan bahawa operasi di KLIA juga tidak terjejas, namun akan terus memantau keadaan dan menyokong MAHB," katanya menerusi kenyataan tersebut.
 

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mendedahkan, sistem digital MAHB baru-baru ini digodam dengan penjenayah menuntut AS$10 juta (kira-kira RM44.3 juta).
 

Beliau ketika berucap sempena Sambutan Peringatan Hari Polis ke-218 di Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur bagaimanapun berkata, permintaan tersebut ditolak dan menegaskan kerajaan sama sekali tidak akan melayan segala tuntutan.
 

Sementara itu dalam kenyataan bersama itu, Pengarah Urusan MAHB, Datuk Mohd Izani Ghani berkata, syarikatnya memberi jaminan kepada semua pihak berkepentingan, operasi lapangan terbang kekal sebagai tumpuan utama.
 

"Kami bekerjasama dengan rakan kongsi lapangan terbang kami untuk memastikan operasi penerbangan dan pemprosesan penumpang terus beroperasi seperti biasa," katanya.
 

Tahap keselamatan dan integriti sistem lapangan terbang katanya, kekal dipastikan menjadi keutamaan tertinggi pada masa ini.
 

Selain itu, pasukan teknikal dan operasi secara aktif memantau keadaan serta melaksanakan langkah-langkah yang perlu untuk melindungi infrastruktur selain memastikan pengalaman penumpang tidak terganggu. - DagangNews.com