Mahasiswa digesa bijak urus kewangan, rancang perbelanjaan harian hadapi tekanan ekonomi global - Pensyarah UMT | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Mahasiswa digesa bijak urus kewangan, rancang perbelanjaan harian hadapi tekanan ekonomi global - Pensyarah UMT

Gambar UMT
Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 26 Mac – Golongan mahasiswa di Malaysia disaran mengamalkan pengurusan kewangan yang berhemah bagi menghadapi tekanan kos sara hidup yang semakin meningkat ketika ini.

 

Langkah seperti menyediakan bajet bulanan, mengutamakan keperluan berbanding kehendak, membina tabung simpanan kecemasan walaupun dalam jumlah kecil, menyediakan makanan sendiri, berkongsi kenderaan dan memanfaatkan kemudahan kampus secara optimum boleh membantu meringankan beban kos harian mereka.

 

Ketua Program Sarjana Muda Kewangan di Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Pembangunan Sosial, Universiti Malaysia Terengganu (UMT) Dr. Siti Nurain Muhmad berkata kenaikan kos sara hidup ini berpunca daripada konflik geopolitik di Timur Tengah yang melibatkan Amerika Syarikat, Iran dan Israel.

 

Katanya, gangguan penghantaran minyak melalui laluan strategik seperti Selat Hormuz telah menyebabkan harga minyak dan bahan api melonjak, sekali gus menekan kos pengangkutan, makanan dan utiliti di Malaysia.

 

“Tekanan kewangan yang berlarutan juga berpotensi menjejaskan kesejahteraan mental dan fokus akademik mahasiswa. Sesetengah pelajar terpaksa mengorbankan keperluan lain demi menampung kos asas, menjadikan pengurusan kewangan lebih kritikal dalam situasi ekonomi yang tidak menentu.

 

“Oleh itu pengurusan universiti perlu memainkan peranan proaktif dengan menyediakan sokongan kewangan bersasar, program kebajikan seperti bantuan makanan terpilih, serta peluang menjana pendapatan melalui keusahawanan dan ekonomi gig. 

 

“Pada masa sama, penggunaan sumber tempatan dan tenaga boleh diperbaharui boleh membantu institusi mengurangkan kebergantungan kepada faktor luaran yang tidak menentu,” katanya.

 

t
 Dr. Siti Nurain Muhmad

 

Dalam situasi tertentu, beliau berkata pelajar terpaksa mengorbankan keperluan lain demi menampung kos asas sepanjang konklik ini berlaku.

 

"Tekanan ini bukan sahaja memberi kesan kepada kesejahteraan kewangan, malah berpotensi menjejaskan fokus akademik dan kesihatan mental mereka. Jika keadaan ini berlarutan, institusi pengajian tinggi juga berdepan cabaran peningkatan kos operasi dalam usaha menawarkan kemudahan kampus serta perkhidmatan pendidikan yang berkualiti," katanya.

 

Konflik di Timur Tengah membuktikan yang dunia kini saling berkait apabila peristiwa ribuan kilometer dari Malaysia boleh memberi impak sehingga ke bilik kuliah. 

 

Beliau berkata universiti bukan sekadar pusat penyampaian ilmu, tetapi juga benteng daya tahan yang membentuk generasi berpengetahuan, adaptif dan bersedia menghadapi cabaran global yang semakin mencabar. - DagangNews.com