Mah Sing diiktiraf antara Syarikat Diurus Terbaik Malaysia 2025 untuk tahun ke-3 berturut-turut | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Mah Sing diiktiraf antara Syarikat Diurus Terbaik Malaysia 2025 untuk tahun ke-3 berturut-turut

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 12 SeptMah Sing Group Berhad sekali lagi melakar sejarah tersendiri apabila diumum antara penerima anugerah Syarikat Diurus Terbaik Malaysia 2025 bagi tahun ketiga berturut-turut.


Anugerah berprestij itu dianjurkan Deloitte Private, yang sebahagian daripada firma global Deloitte, serta terkenal memfokuskan perkhidmatan kepada syarikat milik persendirian dan perusahaan keluarga.


Pengiktirafan tahunan tersebut turut mengukuhkan lagi kedudukan Mah Sing sebagai antara pemaju hartanah yang diakui dengan rekod paling konsisten, berdaya tahan dan berinovasi tinggi di Malaysia.


"Kejayaan ini turut mencerminkan kecemerlangan Mah Sing dalam aspek strategi perniagaan, budaya korporat, keupayaan inovasi, tadbir urus dan prestasi kewangan," kata kenyataan syarikat berkenaan.


Program tersebut tambahnya, menilai prestasi syarikat berdasarkan strategi dan hala tuju perniagaan, budaya dan komitmen organisasi, keupayaan dan inovasi serta tadbir urus dan prestasi kewangan.


Mah Sing kata kenyataan itu, berjaya mengekalkan standard tinggi dalam semua aspek ini, sekali gus memperkukuh daya saing serta nilai jangka panjang kepada pemegang taruh dan komuniti.


Pengasas dan Pengarah Urusan Kumpulan Mah Sing, Tan Sri Leong Hoy Kum dalam ulasannya, menyatakan kemenangan itu adalah bukti budaya korporat konsisten dan komited syarikat terhadap kecemerlangan.


“Kami akan terus menolak halangan dalam membangunkan projek berkualiti dan lestari, demi memenuhi keperluan rakyat Malaysia hari ini, sambil memperkukuh asas pertumbuhan masa depan,” ujar beliau.
 

Mah Sing
LEONG HOY KUM


Dengan rekod pencapaian selama lebih 30 tahun, Mah Sing kini memiliki lebih 60 projek hartanah dengan anggaran nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM63.2 bilion setakat suku kedua 2025.


Kumpulan itu telah berjaya menyerahkan lebih 60,000 unit kediaman kepada pembeli di seluruh negara antaranya menerusi projek Siri M yang terus menjadi penyumbang utama kepada prestasi Mah Sing.


Ia disebabkan lokasi strategik, harga berpatutan, reka bentuk praktikal dan hubungan mobiliti yang baik menjadikan gaya hidup bandar lebih mudah dicapai oleh golongan berpendapatan sederhana.


"Pengiktirafan ini bukan sahaja mencerminkan kekuatan operasi Mah Sing, malah mengukuh kedudukan syarikat memacu pertumbuhan ekonomi negara menerusi pembangunan hartanah yang inklusif," katanya.


Sementara itu, menurut Pemimpin Deloitte Private Malaysia, Chee Pei Pei, syarikat-syarikat yang memenangi anugerah ini menunjukkan kepimpinan mantap dan strategi yang mampu menjana pertumbuhan.


Program Syarikat Diurus Terbaik bermula di Kanada pada 1993 sebelum berkembang ke lebih 45 negara merangkumi Asia Pasifik, Eropah, Timur Tengah dan Amerika yang melibatkan lebih 1,300 syarikat.


“Pemenang adalah contoh syarikat persendirian boleh menyesuaikan diri dalam landskap pasaran yang berubah pantas, sambil mengekalkan kecemerlangan operasi dan inovasi berterusan,” katanya.


Di rantau Asia Tenggara pula, anugerah tersebut sudah memasuki tahun kelima penganjuran Deloitte yang meliputi Malaysia, Indonesia, Singapura, Thailand dan Vietnam. - DagangNews.com