MAG yakin operasi penerbangan kekal lancar hingga akhir 2026 meskipun isu bekalan bahan api global | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

MAG yakin operasi penerbangan kekal lancar hingga akhir 2026 meskipun isu bekalan bahan api global

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 2 April – Malaysia Aviation Group (MAG) kekal optimistik dapat meneruskan operasi penerbangannya sehingga akhir 2026 selepas memperoleh jaminan bekalan bahan api jet daripada pembekal tempatan dan antarabangsa.

 

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Kapten Nasaruddin A. Bakar berkata, komitmen kontrak yang dimeterai bersama pembekal dalam dan luar negara memberi keyakinan kepada syarikat untuk mengekalkan operasi dalam keadaan pasaran global yang mencabar.

 

Menurut beliau, walaupun terdapat sekatan di beberapa negara terhadap jumlah bahan api yang boleh diisi oleh syarikat penerbangan, MAG telah menyesuaikan strategi operasinya bagi memastikan kelangsungan penerbangan.

 

“Berdasarkan kontrak sedia ada, semua pembekal kami sama ada di dalam atau luar negara komited untuk menyokong operasi kami.

 

“Namun, terdapat beberapa lokasi yang menghadkan pengisian bahan api. Justeru, kami mengurus operasi dengan membuat pengisian di stesen yang mampu membekalkan bahan api mencukupi,” katanya pada sidang media prestasi tahunan MAG 2025.

 

Beliau menambah, komitmen daripada pembekal membolehkan MAG terus beroperasi tanpa gangguan sehingga sekurang-kurangnya akhir tahun ini.

 

Isu bekalan bahan api jet kini menjadi kebimbangan dalam industri penerbangan global berikutan kekangan bekalan dan peningkatan kos yang berpotensi menjejaskan operasi syarikat penerbangan.

 

Malah, isu berkenaan hangat diperkatakan pada Festival Penerbangan Asia di Singapura baru-baru ini.

 

Di rantau Asia Tenggara, Filipina memberi amaran bahawa syarikat penerbangannya mungkin terpaksa menggantung operasi pesawat susulan kekurangan bahan api.

 

Presiden negara itu, Ferdinand Marcos Jr. dilaporkan berkata beberapa negara telah memaklumkan ketidakupayaan untuk membekalkan bahan api kepada pesawat.

 

Cebu Pacific memaklumkan telah mendapatkan bekalan bahan api mencukupi untuk menyokong penerbangan sehingga Jun 2026, manakala Philippine Airlines menyatakan bekalan sedia ada mampu menampung operasi termasuk penerbangan jarak jauh dalam tempoh terdekat.

 

Presiden Philippine Airlines, Richard Nuttall berkata syarikat itu hanya mempunyai kepastian bekalan bahan api sehingga akhir Jun ini.

 

“Selepas itu, kami tidak mempunyai gambaran jelas,” katanya. - DagangNews.com