MAG Holdings catat untung bersih RM56 juta pada 5QFY25, hasil naik 68.3% kepada RM119.5 juta | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

MAG Holdings catat untung bersih RM56 juta pada 5QFY25, hasil naik 68.3% kepada RM119.5 juta

Oleh HAZIQ HAKIMI

KUALA LUMPUR 1 DisMAG Holdings Berhad mencatat lonjakan ketara prestasi kewangan bagi suku kelima tahun kewangan 2025 (5QFY25) dengan hasil meningkat kira-kira 68.3% kepada RM119.5 juta.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, MAG memaklumkan perubahan tahun kewangannya daripada 30 Jun kepada 31 Disember, yang diluluskan Lembaga Pengarah pada 23 Mei 2025, bertujuan menyelaraskan pelaporan dengan ladang-ladang baharu yang diperoleh.

 

Susulan perubahan itu, penyata kewangan akan datang akan meliputi tempoh 18 bulan dari 1 Julai 2024 hingga 31 Disember 2025 (18MFY2025).

 

Bagi tempoh tiga bulan berakhir 30 September 2025, hasil kumpulan meningkat kepada RM119.5 juta, berbanding RM71.0 juta dalam tempoh sama tahun sebelumnya, didorong oleh jualan lebih tinggi serta pengambilalihan dua ladang dan sebuah loji pemprosesan pada Mei 2025. 

 

Keuntungan kasar turut meningkat kepada RM18.3 juta berbanding RM15.7 juta sebelumnya.

 

Keuntungan sebelum cukai (PBT) bagi suku tersebut direkodkan pada RM10.4 juta, hampir setara dengan RM10.6 juta tahun sebelumnya.

 

MAG menjelaskan penyederhanaan kecil itu berpunca daripada kos pembiayaan yang lebih tinggi akibat pengembangan kumpulan, selain kerugian pertukaran asing tidak direalisasi, berbanding keuntungan pertukaran asing pada suku sama tahun lalu.

 

Untuk tempoh lanjutan 15 bulan dari 1 Julai 2024 hingga 30 September 2025 (15MFY2025), MAG mencatat hasil kukuh RM464.2 juta, dengan PBT sebanyak RM58.1 juta, manakala keuntungan selepas cukai (PAT) mencecah RM56 juta, sekali gus mencerminkan keupayaan kumpulan menjana untung bersih yang mampan dalam kitaran operasi lebih panjang.

 

Dari sudut kedudukan kewangan, setakat 30 September 2025, MAG mengekalkan tunai dan baki bank termasuk deposit tetap berjumlah RM174.3 juta, dengan nisbah penggearan bersih kekal rendah pada 0.16 kali. 

 

Nisbah semasa turut melonjak kepada 4.6 kali berbanding 2.2 kali pada 30 Jun 2024, manakala dana pemegang saham meningkat kepada RM881.9 juta, mencerminkan asas kewangan kumpulan yang semakin kukuh. - DagangNews.com