MAA Group saran pemegang saham KNM sokong pelupusan Deutsche KNM bernilai RM1.34 bilion | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

MAA Group saran pemegang saham KNM sokong pelupusan Deutsche KNM bernilai RM1.34 bilion

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 14 OktMAA Group Berhad menyeru pemegang saham KNM Group Berhad (KNMG) menyokong pelupusan Deutsche KNM GmbH (DKNM) pada Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) akan datang.


Langkah pelupusan aset bernilai 270 juta euro (kira-kira RM1.34 bilion) kepada NGK Insulators Ltd (NGK) itu merupakan komponen utama kepada Pelan Regularisasi dan Skim Pengaturan (SoA) untuk KNMG.


Kedua-dua elemen kritikal berkenaan dirangka sebagai usaha syarikat bermasalah tersebut supaya dapat keluar daripada status Nota Amalan 17 (PN17) dan melengkapkan pelbagai pelan pemulihannya.


"Pelupusan DKNM membolehkan KNMG berpotensi menyelesaikan hutang kumpulan sekitar RM1 bilion serta menjana RM100 juta untuk modal kerja, khususnya bagi memulihkan operasi di Malaysia," kata MAA.


Syarikat berkenaan dalam satu kenyataan menambah, MAA yang juga sebagai pemegang saham utama KNMG menegaskan kelulusan resolusi khas pada EGM itu amat penting demi masa depan syarikat.


KNMG jelasnya, mempunyai tempoh sehingga 30 Oktober 2025 untuk memenuhi semua syarat terdahulu yang ditetapkan dalam perjanjian jual beli dan pemindahan saham bersama-sama NGK.


Artikel berkaitan: KNM tolak permintaan adakan EGM atas alasan peraturan, MAA tetap mahu teruskan


Katanya, sekiranya syarat itu tidak dapat dipenuhi menjelang tarikh tersebut, pemiutang melalui Skim Pengaturan berhak melantik pelikuidasi untuk melaksanakan penjualan aset secara paksa. 


"Keadaan ini boleh menyebabkan kehilangan dana lebihan RM100 juta hasil pengurangan hutang yang dipersetujui sebelum ini dan akses kepada hasil pelupusan aset lain juga terjejas," tambahnya.


Perkembangan tersebut jelas syarikat berkenaan, sekali gus boleh menjejaskan pelan pemulihan kumpulan yang sudah lama dirancang agar berupaya dibebaskan daripada status PN17.


Sehubungan itu, MAA menyeru pemegang saham untuk mengundi menyokong pelan pelupusan tersebut demi memastikan syarikat kekal berdaya saing dan terselamat daripada ancaman pembubaran.


“Pelupusan DKNM bukan sekadar isu penjualan aset, tetapi ia adalah kunci utama kepada pemulihan KNMG secara menyeluruh,” tegas pihak pengurusan MAA dalam kenyataan itu. - DagangNews.com