LUMUT 20 Jun - Lumut Naval Shipyard (LUNAS) telah melengkapkan proses penyambungan blok hadapan (block erection) kapal tempur pesisir ketiganya (LCS 3).
Difahamkan, proses penyambungan itu dilakukan pada minggu lalu di limbungan Lunas di Pangkalan TLDM Lumut sini.
Walaupun tiada kenyataan dikeluarkan, namun pihak LUNAS telah memuat naik video kerja-kerja penyambungan ini menerusi laman Facebook rasminya
Penyambungan blok ialah peringkat teknologi melengkapkan pemasangan keseluruhan, kimpalan, kelengkapan dan mengecat kapal di atas dermaga pembinaan kapal.

Sepertimana kebanyakan kapal perang moden, kapal-kapal LCS TLDM juga dibina secara modular.
Proses ini bagi mempercepatkan pembinaan sesebuah kapal sebelum kesemua modular dipasang secara berperingkat-peringkat.
Penyambungan blok hadapan LCS 3 ini menunjukkan kemajuan pembinaan kapal tersebut oleh LUNAS diikuti blok-blok seterusnya untuk melengkapkan fizikal kapal.
Apabila penyambungan semua blok siap, seterusnya kapal akan menjalani proses blasting dan mengecat tahap pertama.


Mengikut jadual kapal LCS 3 akan diserahkan kepada TLDM pada tahun 2027.
Dalam pada itu, LCS 1 iaitu KD Maharaja Lela sudah memulakan fasa ‘Setting To Work’ (STW) bermula Mei lalu dan dirancang menjalani aktiviti pelayaran pertama di laut pada Disember ini.
LCS 2 pula yang akan dinamakan sebagai KD Raja Muda Nala sedang meneruskan kerja pembinaan seterusnya dan dijangka memulakan aktiviti fasa STW pada September tahun ini.
Kapal tersebut sebelumnya selesai menjalani proses diturunkan ke permukaan air (downslip) pada 8 Mei lalu.


Status kemajuan semasa bagi pembinaan LCS 2 mencapai 70 peratus siap.
Pada Sabtu lepas, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meninjau kemajuan pelaksanaan pembinaan kapal LCS di limbungan LUNAS), Pangkalan TLDM Lumut semasa melakukan lawatan kerja ke Perak.
Beliau menerima taklimat lanjut berkenaan kemajuan semasa yang sudah dicapai bagi pembinaan lima LCS TLDM.
Sehingga 25 Mei lalu, kemajuan kerja keseluruhan yang dicapai bagi pembinaan kelima-lima LCS adalah sebanyak 72.43 peratus.
Projek LCS bernilai RM11 bilion yang mengalami kelewatan ini bagaimana pun masih penting kepada TLDM kerana memerlukan kapal-kapal perang berteknologi moden. - DagangNews.com







