KUALA LUMPUR 22 April - Lumut Naval Shipyard Sdn Bhd (LUNAS) berhasrat meneroka segmen pembinaan bot tempur sebagai sebahagian strategi pengembangan syarikat.
Ketua Pegawai Eksekutif LUNAS, Ir. Azhar Jumaat berkata, bagi membuktikan keupayaan syarikat, pihaknya telah membina sebuah bot aluminium secara dalaman oleh anak syarikatnya, LUNAS Langkawi Shipyard dengan mengambil tempoh masa hanya 7 bulan.
"Ini adalah satu bukti untuk pelanggan berpotensi kami khususnya kerajaan dan agensi kerajaan bahawa keupayaan itu ada.
"Hanya nyatakan apa keperluannya, kami akan mereka seperti diminta dan menyiapkannya dengan tata cara dan tadbir urus ketat," kata kepada DagangNews pada Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia 2026 (DSA 2026) hari ini.
Azhar berkata, untuk tujuan itu juga LUNAS telah memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bersama syarikat pembuat bot tempur terkemuka dari Perancis, Sillinger SAS bagi perkongsian teknologi.
Beliau menambah, pihaknya melihat potensi dalam segmen bot tempur lebih-lebih lagi sebelum ini kontrak pembinaan banyak diberikan kepada syarikat luar.
Selain itu, ujarnya, terdapat beberapa projek bot tempur sedia ada berdepan masalah atau tergendala dan dengan keupayaan yang ada, LUNAS ingin menawarkan jalan penyelesaian.
Tambahnya lagi, perkembangan semasa yang menyaksikan proses pembinaan kapal tempur persisir (LCS) telah menunjukkan petanda kejayaan pemulihan nyata, membolehkan LUNAS memikirkan langkah seterusnya.
"Justeru ini masa sesuai untuk LUNAS memohon pertimbangan kerajaan memberi lebih peluang kepada syarikat tempatan membina kapal-kapal terutamanya kapal yang tidak kompleks seperti bot tempur dan kapal sokongan.
"Kita berkemampuan cuma perlu diberi ruang dan peluang untuk meneruskan kebolehan dan keupayaan agar wujud kesinambungan kepada industri tempatan," ujarnya.
Azhar berkata, selain wujud sebagai entiti perniagaan, LUNAS juga membawa satu mandat penting kepada Kementerian Kewangan untuk menjadi peneraju, menaung pembangunan industri tempatan khususnya industri kecil dan sederhana berkaitan pertahanan maritim dapat dibangunkan dengan tersusun. - DagangNews.com








