KUALA LUMPUR 4 Mac — Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) sedang mengkaji rangka kerja Peruntukan Aset Strategik (SAA) dengan tumpuan kepada pengurusan risiko melalui pelaburan yang dipelbagaikan merentasi beberapa kelas aset.
Ia didedahkan Jawatankuasa Kira-Kira Awam (PAC) dalam laporan diterbitkan hari ini dan berkata, langkah itu susulan saranannya agar mempelbagaikan portfolio pelaburan dan mengelakkan pergantungan satu entiti bagi mengurangkan risiko.
“Portfolio pelaburan LTAT dipandu oleh rangka kerja SAA, yang mula diperkenalkan pada November 2020 untuk memastikan keupayaannya mampu mengisytiharkan dividen tahunan yang mampan sebanyak lima peratus untuk para pencarum.
“Sejak pelaksanaannya, LTAT secara konsisten telah mencatatkan rekod peningkatan yang merentasi semua petunjuk prestasi kewangan utama, termasuk jumlah keuntungan bersih, pendapatan tertahan dan kadar dividen tahunan.
"Justeru, demi untuk memastikan rangka kerja itu agar kekal relevan dalam menangani cabaran ekonomi semasa, LTAT kini sedang menilai semula rangka kerja sedia ada yang selaras dengan saranan oleh PAC," kata laporan tersebut.
Pada masa yang sama, laporan jawatankuasa berkenaan juga menyatakan bahawa hasil semakan SAA untuk jangka tempoh dari 2025 hingga 2029 telah pun diluluskan oleh Lembaga Pengarah LTAT sendiri pada 28 November 2024.
"Rangka kerja baharu itu kini dalam proses untuk mendapatkan pula kelulusan daripada Menteri Pertahanan, dan diikuti pula oleh Menteri Kewangan," tambahnya.
PAC mula meneliti LTAT selepas Laporan Ketua Audit Negara 2022 mendapati dana itu mencatatkan baki negatif dalam rizabnya sejak 2020, yang berjumlah RM0.376 bilion.
Pada 2021, rizabnya dicatatkan hanya sebanyak RM0.285 bilion, namun pada 2022, angka tersebut didapati berjumlah RM0.338 bilion.
Jawatankuasa itu memulakan prosiding mengenai LTAT pada Jun tahun lepas, dengan memanggil bekas ketua pegawai eksekutif dan bekas pengarah strategik kanannya. - DagangNews.com








