LTAT pertimbang jual Boustead Plantations bernilai RM3 bilion, SD Guthrie dan Tradewinds milik Syed Mokhtar Al-Bukhary antara pembida utama | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

LTAT pertimbang jual Boustead Plantations bernilai RM3 bilion, SD Guthrie dan Tradewinds milik Syed Mokhtar Al-Bukhary antara pembida utama

KUALA LUMPUR 26 Mei – Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) dilaporkan sedang mencari pembeli untuk Boustead Plantations Berhad dalam urus niaga yang dianggarkan bernilai antara RM2 bilion hingga RM3 bilion yang berpotensi menjadi antara transaksi korporat terbesar dalam sektor perladangan tahun ini.

 

Setakat ini, sekurang-kurangnya tiga pihak dikatakan sedang bersaing untuk mendapatkan syarikat perladangan kelapa sawit itu termasuk Tradewinds Plantation Berhad milik Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary dan SD Guthrie Berhad serta sebuah lagi syarikat persendirian.

 

Sumber industri memaklumkan bidaan akhir bagi proses pengambilalihan itu telah dihantar minggu lalu dan keputusan dijangka dibuat selewat-lewatnya pada penghujung Jun ini.

 

Bagaimanapun, sebarang keputusan penjualan perlu mendapat kelulusan daripada lembaga LTAT, Kementerian Pertahanan serta kerajaan Persekutuan.

 

 

 

 

 

 

LTAT dikatakan menguruskan sendiri proses penjualan itu secara dalaman selepas menjadikan Boustead Plantations sebagai syarikat persendirian pada 2024.

 

Boustead Plantations sebelum ini dinyahsenaraikan daripada Pasaran Utama Bursa Malaysia pada 23 Januari 2024 susulan pelaksanaan penswastaan oleh LTAT.

 

Tentangan Politik, Pemilikan Bumiputera

Cadangan penjualan kali ini dibuat hampir tiga tahun selepas LTAT dan Boustead Holdings Berhad membatalkan rancangan menjual 33% pegangan dalam Boustead Plantations kepada Kuala Lumpur Kepong Berhad (KLK) bernilai RM1.15 bilion.

 

Pada ketika itu, LTAT dan Boustead Holdings secara bersama memiliki 68% pegangan dalam Boustead Plantations sebelum merancang untuk melaksanakan penswastaan syarikat itu bersama KLK.

 

Pelan asal ketika itu adalah LTAT mengekalkan pegangan sebanyak 35% manakala KLK menguasai baki 65% kepentingan dalam Boustead Plantations.

 

Namun, perjanjian berkenaan dibatalkan pada Oktober 2023 selepas timbul tentangan politik susulan kebimbangan LTAT akan kehilangan kawalan terhadap aset strategik perladangan kepada syarikat bukan bumiputera.

 

Langkah LTAT mempertahankan pemilikan aset strategik itu dilihat menjadi antara faktor utama syarikat milik bumiputera diberi perhatian dalam proses bidaan kali ini, lapor The Edge.

 

Susulan pembatalan itu, deposit kira-kira RM229 juta yang dibayar KLK telah dipulangkan semula.

 

LTAT kemudiannya mengambil alih Boustead Plantations secara sendiri dengan membelanjakan RM1.15 bilion atau RM1.55 sesaham bagi menyelesaikan proses penswastaan syarikat tersebut bagi mengelakkan komplikasi perundangan.

 

Sebelum ini, KLK dilaporkan berjaya mengatasi beberapa bidaan lain termasuk daripada IOI Corporation Berhad, kumpulan YTL, kumpulan Tradewinds dan kumpulan Samling selepas menawarkan harga paling tinggi.

 

Malah, sekitar 15 syarikat perladangan termasuk TH Plantations Berhad, FGV Holdings Berhad dan SD Guthrie turut dipelawa menyertai proses bidaan ketika itu, namun kebanyakannya menarik diri atau mengemukakan tawaran lebih rendah.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Tradewinds masih berpeluang walaupun SD Guthrie jadi pilihan bank pelaburan ambil alih Boustead Plantations

 

Kali ini, syarikat yang dikatakan menyertai bidaan terdiri daripada syarikat milik bumiputera yang dilihat mampu mengurangkan sensitiviti politik yang timbul sebelum ini.

 

Langkah LTAT mempertimbangkan penjualan Boustead Plantations turut berlaku ketika harga minyak sawit mentah menunjukkan aliran meningkat susulan ketidaktentuan geopolitik di Asia Barat.

 

Peningkatan harga komoditi itu dilihat mewujudkan persekitaran lebih menarik untuk penjualan aset perladangan berskala besar.

 

Miliki 42 Ladang Sawit Dan Bank Tanah Hampir 100,000 Hektar

Ketika ini, Boustead Plantations mengendalikan 42 ladang kelapa sawit melibatkan 16 ladang di Semenanjung Malaysia serta 26 lagi di Sabah dan Sarawak.

 

Kumpulan itu turut memiliki 10 kilang minyak sawit termasuk lima di Sabah dan dua di Sarawak.

 

Daripada keseluruhan bank tanah seluas 97,500 hektar, kira-kira 74% digunakan bagi aktiviti penanaman kelapa sawit.

 

Bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2024, Boustead Plantations merekodkan keuntungan selepas cukai sebanyak RM287.46 juta berbanding RM35.67 juta tahun sebelumnya, melonjak 705.8%.

 

Hasil kumpulan turut meningkat 10.5% kepada RM941.01 juta berbanding RM851.69 juta sebelumnya.

 

Keuntungan sebelum cukai pula meningkat kepada RM357.77 juta daripada RM70.64 juta dengan margin keuntungan sebelum cukai bertambah kukuh kepada 38% berbanding hanya 8.3% sebelumnya.

 

Sementara itu, Tradewinds Plantation mencatat keuntungan selepas cukai sebanyak RM190.57 juta bagi tahun kewangan 2024, meningkat 34.8% berbanding RM141.32 juta sebelumnya.

 

Hasil syarikat itu turut berkembang 21.5% kepada RM2.31 bilion berbanding RM1.9 bilion sebelum ini.

 

SD Guthrie pula mencatat keuntungan bersih tertinggi sebanyak RM2.5 bilion bagi tahun kewangan 2025, meningkat 16% berbanding RM2.16 bilion tahun sebelumnya, disokong prestasi lebih kukuh segmen perladangan huluan dan pembangunan perindustrian.

 

Bagaimanapun, bagi suku pertama tahun kewangan 2026, keuntungan bersih SD Guthrie susut sedikit kepada RM560 juta berbanding RM567 juta pada tempoh sama tahun lalu akibat prestasi lebih lemah segmen perladangan huluan.

 

 

 

 

 

 

Hasil syarikat itu turut berkurangan 2.6% kepada RM4.69 bilion.

 

Pemerhati industri melihat penjualan Boustead Plantations berpotensi menjadi antara transaksi terbesar sektor perladangan tahun ini memandangkan syarikat itu memiliki aset ladang yang luas, kedudukan strategik serta prestasi kewangan yang semakin kukuh. - DagangNews.com