LSS5+ pacu peluang projek perniagaan tambahan, LSS6 bakal perkenal penyimpanan bateri – penganalisis | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

LSS5+ pacu peluang projek perniagaan tambahan, LSS6 bakal perkenal penyimpanan bateri – penganalisis

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 4 SeptSektor tenaga bersih negara terus meraih suntikan semangat baharu apabila projek solar berskala besar (LSS) 5+ mencetus peluang projek tenaga sehingga 2 gigawatt (GW).


Menurut penganalisis, LSS5+ dijangka melonjakkan peluang perniagaan tambahan kepada ramai pemain kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) serta pemilik aset solar tempatan.


Pada masa sama, pusingan tender baharu di bawah LSS6 mungkin akan memperkenalkan keperluan kepada sistem penyimpanan tenaga bateri (BESS) sebagai ciri baharu bagi meningkatkan kestabilan grid.


MBSB Research berkata, projek LSS6 dijangka memperkenalkan sistem berkenaan sebagai sebahagian daripada syarat tender, sejajar dengan keperluan untuk menstabilkan grid tenaga negara ini.


"Ia penting apabila tenaga boleh diperbaharui (RE), menjadi komponen utama dalam campuran tenaga dan menjangka solar menyumbang 25% kapasiti tenaga menjelang 2035," katanya dalam nota hari ini.


Tambah firma penyelidikan tersebut lagi, penggunaan tenaga solar di seluruh negara turut akan meningkat sehingga 58% menjelang 2050, dengan kadar pertumbuhan pada setiap tahun sekitar 14%.


Pusingan LSS5+ yang baru sahaja dimuktamadkan menyaksikan 13 syarikat, disenarai pendek dengan kapasiti hampir 2GW, termasuk projek solar terapung terbesar setakat ini dengan kapasiti 200MW.


MBSB Research menganggarkan potensi kerja EPCC bernilai sehingga RM5.9 bilion boleh dijana daripada LSS5+, dengan anugerah kontrak dijangka bermula seawal suku pertama tahun kewangan 2026.


"Harga panel solar yang kekal rendah AS$0.88/watt turut menyokong margin kontraktor, walaupun risiko kenaikan kos wujud akibat langkah kawal kapasiti di China mulai Julai 2025," katanya.


Sementara itu, TA Securities berkata, LSS5+ melibatkan Pakej A dengan 1,500MWac untuk pemasangan solar darat (30MWac–500MWac) dan Pakej B pula 500MWac untuk solar terapung (10MWac–500MWac).


Projek-projek ini kata firma penyelidikan tersebut, akan dikomersialkan antara 2027 sehingga 2028 dengan tempoh perjanjian tenaga persendirian (PPA) ditetapkan kerajaan hanya selama 21 tahun.


Antara syarikat yang sudah mengesahkan kejayaan dalam bidaan termasuk Samaiden Group Berhad, Malakoff Corporation, Solarvest Holdings, Sunview, Cypark, Tenaga Nasional Berhad dan YTL Power.


"Gabungan LSS5 dan LSS5+ membawa jumlah kapasiti kepada 4GW, sekali gus membuka peluang RM12 bilion hingga RM14 bilion nilai EPCC dalam tempoh dua tahun akan datang," kata TA Securities. 


Firma itu menjangka penganugerahan kontrak EPCC untuk LSS5+ akan bermula sekitar suku pertama 2026, dan menasihatkan pemaju mempercepatkan pelaksanaan bagi mengunci kos rendah semasa.


Ia mengekalkan saranan 'overweight' ke atas sektor tenaga, disokong oleh ketegangan permintaan dan penawaran dalam penjanaan tenaga, serta pelaksanaan RE tertinggi dalam sejarah negara ini.


Selain itu kata TA Securities, ia disokong peningkatan perbelanjaan modal grid nasional, potensi tenaga nuklear, serta kepesatan pusat data dan penamatan PPA arang batu yang menjana kapasiti lama.


"Pelan peralihan tenaga negara (NETR) menyasarkan 70% campuran RE menjelang 2050, memerlukan pembangunan tahunan sebanyak 2.2GW, iaitu empat kali ganda kadar semasa," tambahnya.


Secara keseluruhan, kedua-dua firma penyelidikan itu menyifatkan gabungan LSS5+ dan jangkaan LSS6 dengan elemen penyimpanan bateri menandakan fasa baharu dalam landskap baharu RE di Malaysia. 


Usaha tersebut bukan sahaja meningkatkan peluang untuk syarikat EPCC dan pemilik aset solar, malah memperkukuh asas bagi pertumbuhan mampan sektor tenaga jangka panjang. - DagangNews.com