LSH Capital kaut margin kukuh 39% pada FY25, dipacu sumbangan konsesi Menara Kuala Lumpur – AmInvest | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

LSH Capital kaut margin kukuh 39% pada FY25, dipacu sumbangan konsesi Menara Kuala Lumpur – AmInvest

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 26 NovAmInvestment Bank terus mengekalkan saranan 'beli' ke atas Lim Seong Hai Capital Berhad (LSH) dengan harga sasaran yang juga masih tidak berubah kepada RM3.00 sesaham.


Firma penyelidikan itu berkata, saham kumpulan tersebut menawarkan potensi kenaikan sebanyak 37%, selepas mencatatkan keputusan FY25 selari jangkaan, dengan keuntungan bersih teras meningkat.


Kenaikan kira-kira 39% tahun ke tahun (YoY) kepada RM97 juta itu jelasnya, didorong oleh perluasan margin yang kukuh serta pendapatan secara berulang daripada konsesi Menara Kuala Lumpur di ibu negara.


"LSH mencatat margin untung kasar (GPM) 39% berbanding 36% pada tahun lalu, didorong campuran lebih daripada segmen kejuruteraan, bahan binaan dan pendapatan konsesi," kata AmInvest dalam notanya.


Tambah firma berkenaan, prestasi tahun semasa ini mengesahkan kekuatan model integrasi menegak LSH yang meletakkan margin secara lebih tinggi daripada pesaing kontraktor skala kecil dan sederhana.


Syarikat itu katanya, turut mengumumkan pembayaran dividen yang paling tinggi setakat ini iaitu sebanyak 3.89 sen, bersamaan dengan hasil kira-kira 2%, melepasi jangkaan firma berkenaan sendiri.


AmInvest berkata, segmen hartanah menjadi penyumbang utama, dengan hasil melonjak 119% YoY kepada RM159 juta, manakala keuntungan kasar meningkat 66%, dipacu bil kemajuan dari projek LSH Segar.


"Perkembangan positif kumpulan ini sebenarnya selari dengan unjuran kami daripada jumlah nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM1.6 bilion dalam rangkaian projek LSH sehingga FY27," jelasnya.


Segmen pembinaan juga menunjukkan peningkatan margin, apabila GPM naik kepada 35%, disokong margin melebihi 50% daripada aktiviti perniagaan bahan binaan serta pengembangan kerja-kerja kejuruteraan.


Penyumbang paling ketara dalam tahun kewangan ini kata AmInvest, ialah konsesi penyelenggaraan Menara Kuala Lumpur, apabila hasil fasiliti berkenaan melonjak 30 kali ganda kepada RM26 juta.


Margin kasar segmen ini kata firma berkenaan, turut melonjak kepada 69%, memberikan aliran tunai berulang jangka panjang serta mengurangkan risiko pendapatan kumpulan tersebut sehingga FY26.


"Kami mengekalkan penilaian kerana struktur margin LSH yang lebih tinggi dengan saluran tender melebihi RM10 bilion, serta berpendapat transformasi daripada kontraktor tradisional," katanya.


Kumpulan itu jelas AmInvest, sudah berubah kepada platform pembinaan dan pembangunan berintensif perundingan meneruskan penarafan semula syarikat dalam jangka panjang. - DagangNews.com