KUALA LUMPUR 9 April – Lim Seong Hai Capital Bhd menjalin kerjasama strategik dengan Knusford Bhd bagi melaksanakan projek naik taraf jalan di Kuantan, sekali gus memperoleh subkontrak bernilai sehingga RM30 juta.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, LSH Capital berkata kerjasama itu dilaksanakan menerusi anak syarikat milik penuhnya, LSH BEST Builders Sdn Bhd.
Kerjasama tersebut melibatkan entiti pembinaan milik Knusford iaitu Knusford Construction Sdn Bhd, yang bertindak sebagai kontraktor utama projek berkenaan.
Menurut LSH Capital, kolaborasi itu bertujuan menggabungkan kepakaran kedua-dua pihak bagi memastikan pelaksanaan projek berjalan dengan lebih cekap dan berkesan.
Sebagai sebahagian daripada perjanjian, LSH BEST Builders akan diberi peluang untuk menyertai tender bagi pelbagai skop kerja yang ditawarkan di bawah projek tersebut.
Ini termasuk pembekalan bahan binaan serta perkhidmatan penyewaan jentera yang diperlukan sepanjang tempoh pembinaan.
Selain itu, syarikat tersebut turut akan menerima bayaran perkhidmatan bersamaan 0.8% daripada nilai baki kerja projek.
LSH Capital berkata, bayaran itu adalah sebagai pertimbangan terhadap peranan dan sumbangan LSH BEST Builders dalam pelaksanaan projek berkenaan.
Dalam masa sama, Knusford Construction turut menganugerahkan subkontrak sementara kepada LSH BEST Builders dengan nilai sehingga RM30 juta.
Subkontrak tersebut merangkumi pelbagai skop kerja yang akan diberikan secara berperingkat melalui notis berasingan.
Kerja-kerja di bawah subkontrak itu dijadualkan bermula pada 7 April 2026. Projek berkenaan dijangka siap sepenuhnya menjelang 30 November 2027.
LSH Capital turut memaklumkan bahawa kerjasama ini diklasifikasikan sebagai transaksi pihak berkaitan. Ini berikutan pengerusinya, Tan Sri Lim Keng Cheng, mempunyai pegangan saham secara langsung dan tidak langsung dalam Knusford.
Beliau memiliki 1.69% kepentingan langsung serta 1.5% kepentingan tidak langsung dalam syarikat tersebut melalui Lim Seong Hai Holdings Sdn Bhd.
Sehubungan itu, urus niaga berkenaan tertakluk kepada keperluan pematuhan yang ditetapkan bagi transaksi pihak berkaitan. - DagangNews.com








