KUALA LUMPUR 4 Nov – L&P Global Berhad berhasrat menjual sebidang tanah pajakan bersama bangunan di Lot 60025, Seksyen 38, Kulim, Kedah dengan nilai harga pertimbangan sebanyak RM13.88 juta.
Syarikat penyediaan rumusan pembungkusan industri ditubuhkan pada 1984 itu menjelaskan yang hasil pelupusan aset seluas 11,171 meter persegi tersebut akan digunakan semula bagi beberapa tujuan.
Antaranya sebagai pembayaran tebusan pinjaman sebanyak RM7.62 juta dalam tempoh 36 bulan, serta modal kerja kumpulan beribu pejabat di Pulau Pinang itu yang dianggarkan berjumlah RM5.13 juta.
"Ia juga untuk bayaran cukai keuntungan harta tanah (RPGT) sebanyak RM790,871.60 dalam masa enam bulan, serta perbelanjaan lain berjumlah RM338,194.40," maklum L&P Global kepada Bursa Malaysia.
Keseluruhan hasil daripada pelupusan aset berkenaan katanya, dijangka digunakan sepenuhnya dalam tempoh tiga tahun daripada tarikh Perjanjian Jual Beli (SPA) yang bertarikh 31 Oktober 2025.
Kumpulan itu turut memaklumkan yang permohonan untuk mendapatkan kelulusan bertulis daripada Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK) akan dihantar selewat-lewatnya pada 12 November 2025.
Ruang waktu berkenaan kata L&P Global, diperuntukkan dalam masa tujuh hari selepas SPA yang telah dimeterai dihantar untuk pendaftaran setem kepada pihak berkuasa kawal selia pada 3 November 2025.
"Laporan penilaian hartanah yang bertarikh 31 Disember 2024 sebenarnya disediakan syarikat hanya untuk kegunaan dalaman pengurusan dan bukan untuk tontonan awam," jelas kumpulan berkenaan lagi.
Bagaimanapun katanya, salinan SPA boleh diperiksa di pejabat berdaftar syarikat di George Town, Pulau Pinang pada hari bekerja, untuk tempoh selama tiga bulan bermula pada 31 Oktober 2025.
Teras perniagaan L&P Global termasuk mereka bentuk dan mengeluarkan peti kayu, kotak, palet serta perkhidmatan pembungkusan, kitar semula palet, penyelenggaraan dan perdagangan. - DagangNews.com








