Lotte Chemical Titan disaman lebih RM100 juta oleh Petroleum Logistics berhubung pertikaian hasil daripada penggunaan lesen syarikat | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Lotte Chemical Titan disaman lebih RM100 juta oleh Petroleum Logistics berhubung pertikaian hasil daripada penggunaan lesen syarikat

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 1 April - Lotte Chemical Titan Holding Bhd (LCTitan) disaman lebih RM100 juta oleh Petroleum Logistics Services Sdn Bhd berhubung pertikaian melibatkan hasil, keuntungan serta liabiliti cukai daripada penggunaan lesen syarikat itu bagi jualan domestik.

 

Dalam pemfailan kepada Bursa Malaysia, LCTitan memberitahu telah menerima writ saman daripada Petroleum Logistic Services yang menuntut ganti rugi, termasuk cadangan cukai dan penalti, melebihi RM100 juta.

 

Menurut dokumen tersebut, Petroleum Logistic Services yang dimiliki sepenuhnya oleh Kamil Azman Abdul Razak turut menamakan Presiden LCTitan, Jang Seon Pyo serta anak syarikatnya, Lotte Chemical Titan (M) Sdn Bhd sebagai defendan dalam kes berkenaan.

 

 

 

 

 

 

Syarikat itu menuntut perakaunan penuh ke atas semua hasil, keuntungan dan manfaat yang diperoleh LCTitan daripada jualan domestik yang dijalankan di bawah lesennya, termasuk pendedahan dokumen seperti invois, pesanan pembelian, memo harga dan rekod pembayaran pelanggan.

 

Dari segi tuntutan, Petroleum Logistic Services memohon ganti rugi khas sebanyak RM111.8 juta berdasarkan margin keuntungan kasar 15%.

 

Sebagai alternatif, syarikat itu menuntut RM20.57 juta iaitu kekurangan berdasarkan margin pengedar industri sebanyak 3%, selain bayaran yuran pengedaran atau pampasan yang akan ditentukan mahkamah bersama faedah.

 

Selain itu, syarikat berkenaan turut menuntut indemniti bagi liabiliti cukai, penalti dan caj berjumlah RM18.44 juta yang telah atau bakal dikenakan oleh pihak berkuasa.

 

Mengulas perkara itu, LCTitan berkata pihaknya tidak menjangkakan sebarang impak material terhadap pendapatan atau aset bersih kumpulan pada masa ini, kecuali kos guaman.

 

“Syarikat sedang mendapatkan nasihat undang-undang dan akan membuat pengumuman lanjut sekiranya terdapat perkembangan material,” katanya.

 

 

 

 

 

Dalam dagangan semalam, saham LCTitan susut dua sen atau 4.9% untuk ditutup pada 38.5 sen, sekali gus meletakkan nilai pasaran kumpulan itu sekitar RM890.26 juta.

 

Bagaimanapun, kaunter tersebut masih mencatatkan kenaikan lebih 35% dalam tempoh sebulan, disokong kebimbangan gangguan bekalan susulan konflik geopolitik melibatkan Amerika Syarikat dan Iran yang menjejaskan laluan perkapalan di Selat Hormuz. - DagangNews.com