KUALA LUMPUR 3 April - Lotte Chemical Titan Holding Bhd (LCTitan) yang berdepan saman hampir RM130 juta daripada bekas pengedarnya, Petroleum Logistic Services Sdn Bhd (PLS) mendedahkan pertikaian itu berpunca daripada perjanjian pengedaran eksklusif yang dimeterai pada 29 Mei 2019.
Dalam makluman lanjut kepada Bursa Malaysia semalam, kumpulan petrokimia itu berkata perjanjian tersebut dibuat antara anak syarikat milik penuhnya, Lotte Chemical Titan (M) Sdn Bhd (LCTM), dan PLS.
Di bawah perjanjian tersebut, LCTM menjual produk kimia terpilih kepada PLS untuk diedarkan kepada pelanggan akhir, dengan bayaran dibuat terus kepada LCTM walaupun invois dikeluarkan oleh kedua-dua pihak.
Bagaimanapun, PLS kemudiannya mencadangkan semakan kadar komisen yang lebih tinggi serta perubahan struktur pembayaran supaya pelanggan akhir membuat bayaran melalui PLS. Cadangan itu ditolak oleh LCTM.
Artikel Berkaitan: Lotte Chemical Titan disaman lebih RM100 juta oleh Petroleum Logistics berhubung pertikaian hasil daripada penggunaan lesen syarikat
Menurut LCTitan, keadaan menjadi tegang apabila PLS menghentikan pengeluaran invois kepada pelanggan pada awal Julai 2025 atas alasan isu pematuhan, yang dinafikan oleh LCTM.
Susulan itu, LCTM menamatkan perjanjian pengedaran pada 11 Ogos 2025, berkuat kuasa 11 Oktober tahun sama.
Pada 5 Mac 2026, LCTM memulakan prosiding timbang tara bagi menuntut RM8.02 juta berkaitan invois tertunggak serta mendapatkan pengisytiharan bahawa PLS telah melanggar perjanjian.
Tidak lama selepas itu, pada 19 Mac, PLS memfailkan saman terhadap LCTitan, LCTM dan presiden kumpulan, Jang Seon Pyo, dengan tuntutan termasuk ganti rugi khas berkaitan komisen yang didakwa tidak dibayar.
LCTitan menganggarkan pendedahan kewangan kumpulan itu berada dalam julat RM18 juta hingga RM130 juta, termasuk tuntutan indemniti cukai dan komisen.
“Kumpulan akan mempertikaikan sepenuhnya tuntutan tersebut dan akan menentang prosiding ini secara tegas,” katanya.
LCTM merupakan antara anak syarikat utama kumpulan dengan kos pelaburan berjumlah RM3.34 bilion selepas rosot nilai, berdasarkan penyata kewangan teraudit bagi tahun kewangan 2024.
Sementara itu, saham LCTitan ditutup meningkat 1.5 sen atau 4.3% kepada 36.5 sen pada Khamis, menjadikan permodalan pasarannya sekitar RM844 juta. - DagangNews.com








