Lonjakan pesakit rabun jana Optimax raih untung bersih RM7.6 juta pada 1H25, kata penganalisis | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Lonjakan pesakit rabun jana Optimax raih untung bersih RM7.6 juta pada 1H25, kata penganalisis

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 28 OgosOptimax Holdings Berhad mencatatkan keuntungan bersih RM7.6 juta bagi separuh pertama tahun kewangan 2025 (1H25), meningkat kira-kira 12% tahun ke tahun (YoY).


Penganalisis berkata, ia selari dengan jangkaan pasaran, disokong oleh pemulihan bilangan pesakit rabun melonjak selepas perayaan utama dan pertumbuhan berterusan klinik-klinik satelit baharu.


Menurut Maybank Investment Bank (Maybank IB), keuntungan suku kedua (2QFY25) meningkat 10% YoY dan 21% suku ke suku (QoQ) kepada RM4.2 juta, susulan peningkatan hasil sebanyak 7% YoY dan 13% QoQ.


"Ini dijana kestabilan kos berikutan normalisasi perbelanjaan pengembangan pusat pakar mata (ACC), manakala margin juga kembali sihat pada 31.4%, sejajar tahap sebelum proses pengembangan," katanya.


Pemulihan Optimax kali ini menunjukkan permintaan tertangguh kembali pulih selepas musim perayaan, terutama segmen rawatan pembedahan refraktif dan perkhidmatan estetik seperti ReLEX SMILE Pro.


Sementara itu, Public Investment Bank (PublicInvest) menyatakan pertumbuhan disokong oleh kempen pemasaran digital serta sumbangan operasi di Kemboja yang mencatat lonjakan pendapatan 52.8% YoY.


Meskipun pertumbuhan positif, kos operasi kumpulan ini, kekal menjadi perhatian dan keuntungan sebelum cukai sedikit terkesan oleh kos kakitangan dan susut nilai daripada cawangan yang baharu.


"Perluasan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) ke atas sewaan premis dan potensi kenaikan kadar utiliti dijangka memberi tekanan terhadap kos operasi kumpulan ini pada FY26 pula," tambahnya.


Kedua-dua firma penyelidikan itu namun optimis terhadap pertumbuhan pada enam bulan terakhir tahun ini (2H25), dipacu peningkatan kadar penggunaan pusat sedia ada dan perluasan ke pasaran ASEAN.


Ini kata mereka, seperti Kemboja, Indonesia dan Vietnam, serta usaha penyenaraian Optimax dalam panel insurans utama yang akan memberi pilihan tambahan kepada pesakit rabun di seluruh negara.


Maybank IB mengekalkan saranan 'beli' dengan sasaran harga (TP) disemak kepada 81 sen daripada 83 sen, berdasarkan purata 5 tahun diselaraskan sebanyak 30 kali terhadap hasil FY25 sebanyak 2.6 sen.


PublicInvest pula mengekalkan saranan 'outperform', tetapi dengan TP lebih tinggi iaitu 84 sen, berdasarkan unjuran tahun kewangan FY26 dan pendapatan hadapan satu tahun sebanyak 23 kali.


“Optimax berada pada kedudukan strategik memanfaatkan peluang pelancongan perubatan dan pertumbuhan populasi warga emas di rantau ini,” kata PublicInvest dalam notanya. - DagangNews.com