KUALA LUMPUR 23 Jan - Aeon Co (M) Bhd diunjur mencatatkan untung bersih sebanyak RM57.3 juta pada suku terakhir tahun kewangan 2024 (FY24), kata CIMB Securities.
Katanya, suku keempat merupakan suku terkuat kumpulan itu, menyumbang 35% hingga 39% daripada pendapatan teras tahunan sesaham pada FY22 hingga FY23.
Firma penyelidikan itu menjangkakan, pendapatan kumpulan pada suku keempat berakhir pada 31 Disember 2024 (4QFY24) diperkuatkan lagi oleh perayaan akhir tahun, rebat perdagangan yang lebih tinggi dan kenaikan gaji kakitangan awam.
Cawangan yang baru dibuka termasuk AEON Bandar Puchong, AEON MaxValu Prime Desa Park City, AEON Bukit Indah, AEON Ipoh Station 18, dan AEON Mall Tebrau City, juga mungkin menyumbang kepada peningkatan jualan.
"Kami kekal optimis terhadap prospek Aeon, meramalkan kadar pertumbuhan tahunan kompaun (CAGR) sebanyak 9.3% dalam pendapatan sesaham dari 2023 hingga 2026.
"Prospek ini disokong oleh hasil yang lebih kukuh daripada usaha peremajaan pusat beli-belah, pelancaran AEON Mall (KL Midtown) yang akan datang, dan rancangan lanjutan pusat membeli-belah AEON Seremban 2," katanya dalam satu nota kajian.
Sementara itu, CIMB Securities melihat pembayaran Aeon sebanyak RM22.5 juta sebagai ganti rugi daripada pertikaian undang-undang sebagai perbelanjaan sekali sahaja, tidak berulang.
Terdahulu, kumpulan itu telah membuat pembayaran kepada Betanaz Properties Sdn Bhd, anak syarikat milik 51% Ahmad Zaki Resources Bhd, selepas Mahkamah Tinggi membenarkan penangguhan bersyarat dalam pertikaian perjanjian penyewaan.
Firma penyelidikan itu berkata, walaupun ganti rugi mewakili perkembangan negatif, mereka menegaskan, mahkamah telah menolak tuntutan tambahan RM59.3 juta daripada Betanaz Properties.
CIMB Securities mengekalkan saranan "beli" dengan harga sasaran (TP) RM1.75 sesaham.- DagangNews.com








