Lonjakan hasil UEM Sunrise pada 1HFY25 berada di landasan pemulihan, kata penganalisis | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Lonjakan hasil UEM Sunrise pada 1HFY25 berada di landasan pemulihan, kata penganalisis

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 22 Ogos – UEM Sunrise Berhad dilihat mula berada di landasan pemulihan berikutan lonjakan pendapatan kumpulan itu pada separuh pertama tahun kewangan 2025, menurut penganalisis.


Maybank Investment Bank (Maybank IB) berkata, prestasi enam bulan pertama 2025 dilihat di bawah jangkaan firma penyelidikan berkenaan dan ramalan konsensus masing-masing mewakili 31% dan 43%.


Penurunan margin dari penjualan tanah di Tapah, Perak yang bernilai RM80 juta menjadi punca utama penyimpangan pendapatan manakala jualan hartanah berjumlah RM649 juta, adalah separuh unjurannya.


"Bagi 2HFY25, UEM Sunrise merancang pelancaran baharu bernilai RM1.6 bilion, termasuk projek One Oval di Subi East, Perth, Australia dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM1.35 bilion," katanya.


Selain itu tambah Maybank IB, kumpulan juga mempercepatkan pelancaran beberapa projek di Iskandar Puteri dari FY27 ke FY26, susulan permintaan kukuh di Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ).


Berdasarkan perkembangan semasa, ia menurunkan unjuran pendapatan FY25 sebanyak 13% mencerminkan margin jualan tanah lebih susut yang diramalkan 15% daripada 25%, dan anggaran keuntungan rendah.


Firma berkenaan menambah, unjuran FY26 dan FY27 pula kekal tidak berubah dengan harga sasaran (TP) turut dikekalkan kepada sebanyak 84 sen, berdasarkan 0.5 kali ganda diskaun kepada penilaian.


"Kami melihat UEM Sunrise terus kukuh sebagai proksi utama kepada pertumbuhan pesat dalam JS-SEZ, khususnya di wilayah Iskandar dan bakal memasuki landasan pemulihan selepas ini," kata Maybank IB.


Sementara itu, Hong Leong Investment Bank (HLIB) menyifatkan kumpulan ini mula bangkit mencatatkan lonjakan pendapatan dan keuntungan bersih pada suku lalu namun dalam situasi margin yang tertekan.


Di samping itu kata firma berkenaan, pencapaian kumpulan kali ini masih di bawah jangkaannya dan konsensus, masing-masing mewakili 31.1% dan 41.5% daripada anggaran pendapatan setahun penuh.


Bagaimanapun tambahnya, keputusan UEM Sunrise tersebut diherotkan oleh aktiviti penjualan tanah dengan margin rendah dan kemajuan pengebilan yang lebih perlahan daripada jangkaan sebelum ini.


"Pendapatan memang meningkat 99.9% tahun ke tahun (YoY), disokong penjualan tanah lebih tinggi, tetapi tanpa kegiatan tersebut, hasil kumpulan masih meningkat kukuh sebanyak 75.8%," kata HLIB.


Lonjakan tinggi tersebut kata firma berkenaan disumbang oleh usaha penyerahan Residensi AVA dan KAIA Heights Fasa 1 serta pengebilan yang lebih tinggi menerusi projek The Minh dan Residensi Zig.


Margin kasar namun didapati susut kepada 25.6% berbanding 1HFY24 dengan 33.2% kerana jualan tanah kali ini hanya mencatat margin purata 24%, rendah berbanding 51% dalam tempoh sama tahun lalu.


Dalam pada itu,  CGS International (CGSI) menilai UEM Sunrise sebagai sudah berjaya mencatatkan pendapatan kukuh, tetapi ia kekal dengan saranan 'pegang' dengan TP sebanyak 76 sen sesahama.


"Kami menilai keputusan kewangan 1H25 sebagai selari dengan jangkaan, bersamaan 49% daripada unjuran kami sendiri namun hanya 41% daripada jangkaan konsensus Bloomberg," kata firma tersebut.


Syarikat itu katanya, mencatatkan hasil lebih tinggi sebanyak RM860.1 juta (+100% YoY), didorong oleh sumbangan pembangunan hartanah dan penjualan tanah terutama di **Iskandar Puteri dan Tapah.


Margin pada enam bulan pertama tahun ini pula kata CGSI, menurun kepada 15.5%, berbanding 26.2% dalam 1H24, tetapi kesan ini telah diseimbang oleh kos kewangan dan cukai yang lebih rendah.


Ia menjangka penjualan tanah dan pelupusan aset terus menjadi penyumbang utama pendapatan jangka pendek, sementara pelancaran baharu memberi sokongan momentum pertumbuhan. - DagangNews.com