KUALA LUMPUR 8 Sept – Sarawak Plantation Berhad dijangka mencatat pertumbuhan pendapatan yang lebih kukuh dalam separuh kedua tahun kewangan 2025 (2H25) dan tahun 2026, kata Phillip Capital.
Firma penyelidikan tersebut berkata, unjuran positif itu didorong oleh faktor peningkatan hasil tandan buah segar (BTS), peralihan ke kawasan matang utama, dan daya operasi yang semakin meningkat.
Ia mengekalkan saranan 'pegang' terhadap syarikat itu dengan harga sasaran tidak berubah kepada RM2.64 sesaham, berdasarkan sembilan kali nisbah harga kepada pendapatan (P/E) diunjur bagi FY26.
"Kami yakin Sarawak Plantation dapat mengekalkan sasaran pengeluaran BTS sebanyak 370,000 tan bagi FY25, mencerminkan jangkaan pemulihan kukuh dalam 2H25," kata Phillip Capital dalam notanya.
Terdahulu, suku pertama menyaksikan gangguan cuaca lembap berpanjangan menjejaskan pendebungaan dan kadar perahan minyak (OER), menyebabkan pengeluaran BTS Julai 2025 susut kepada 25,000 tan.
Bagaimanapun, pengeluaran telah meningkat semula kepada 31,000 tan pada Ogos 2025 atau naik 24% bulan ke bulan (MoM), dengan Oktober 2025 dijangka menjadi bulan kemuncak pengeluaran tahun ini.
Bagi FY26 kata Phillip Capital, pengeluaran BTS dijangka meningkat 15% kepada 424,000 tan, dipacu kematangan 1,000 hektar baharu pada Julai 2025 dan daripada kawasan 8,500 hektar belum matang.
"Sehingga Jun 2025, Sarawak Plantation memiliki keluasan tanaman sawit sebanyak 30,000 hektar dengan struktur ladang seimbang menyokong unjuran hasil tinggi dalam tempoh dua tahun," katanya.
Selain itu, harga baja kekal tinggi, meningkat sekitar 20% secara tahunan (YoY), dan dijangka berterusan dalam separuh pertama FY26, sejajar dengan kos bahan mentah dan kadar penghantaran.
Phillip Capital namun menambah, syarikat itu mengambil langkah mengimbangi tekanan kos dengan inisiatif mekanisasi berterusan termasuk nisbah buruh semasa 1 pekerja setiap 10 hektar.
Sarawak Plantation katanya, melaksanakan mekanisasi penuh hanya di kawasan yang telah ditebang semula, manakala ladang matang dan tua pula masih lagi menggunakan pendekatan secara hibrid.
Menyentuh isu gaji minimum dan caruman KWSP tambahan untuk pekerja asing bermula Oktober 2025, syarikat itu menjangkakan kos buruh hanya meningkat 3%, dengan impaknya masih dianggap terkawal.
“Prestasi produktiviti yang semakin baik dan usaha mekanisasi akan terus menyerap tekanan kos syarikat, sementara kos seunit dijangka kekal stabil menjelang 2026,” jelas Phillip Capital.
Kedudukan kewangan Sarawak Plantation kekal kukuh dengan tunai kasar RM232 juta, manakala pinjaman meningkat kepada RM56 juta daripada RM41 juta untuk membiayai penanaman semula.
Kumpulan itu berada dalam kedudukan tunai bersih RM176 juta, dengan nisbah gear bersih hanya 7%, cukup kukuh menyokong dividen, pelaburan mekanisasi, dan pertumbuhan masa depan. - DagangNews.com








