KUALA LUMPUR 20 Ogos – Focus Point Holdings Berhad baru-baru ini mencatatkan peningkatan pendapatan 4.9% kepada RM145.7 juta bagi separuh pertama tahun kewangan berakhir 30 Jun 2025.
RHB Research berkata, lonjakan itu didorong oleh prestasi kukuh dalam segmen optikal yang berkembang 5.3% tahun ke tahun (YoY) selain pertumbuhan ini disumbang oleh peluasan rangkaian kedai.
Tambah firma penyelidikan berkenaan, ia berikutan pembukaan lima kedai milik sendiri dan satu kedai francais, selain pertumbuhan jualan kedai sama (SSSG) yang sederhana tetapi stabil di bawah 5%.
"Kami masih lagi mengekalkan saranan 'beli' terhadap saham Focus Point dengan harga sasaran disemak sebanyak 74 sen yang akan menawarkan potensi kenaikan sebanyak 36%," katanya dalam satu nota kajian.
Firma itu berkata, keuntungan teras kumpulan bagi 1H25 meningkat 4.5% YoY kepada RM16.6 juta, masing-masing memenuhi 46% dan 44% daripada unjuran tahun penuh penganalisis dan konsensus pasaran.
Margin keuntungan kasar (GPM) tambah RHB Research, turut berkembang sebanyak 1.9 mata peratusan kepada 67.2%, disokong oleh kuasa tawar-menawar lebih baik hasil daripada peningkatan volum jualan.
Kata firma berkenaan lagi, keuntungan sebelum cukai (PBT) kumpulan ini turut mencatatkan pertumbuhan 3.4% kepada RM22.1 juta, dipacu oleh prestasi kukuh segmen optikal yang melonjak sebanyak 16.1%.
"Bagaimanapun, segmen makanan dan minuman (F&B) kembali kerugian RM1.6 juta berbanding untung RM0.6 juta pada 1H24, berikutan sentimen lemah pengguna serta kos operasi bertambah," katanya.
Secara sukuan, pendapatan bagi suku kedua (2Q25) kekal stabil pada RM72.8 juta, namun GPM yang lebih tinggi (+1.3 mata peratusan kepada 67.8%) telah meningkatkan keuntungan teras 12% kepada RM8.8 juta.
Focus Point kata RHB Research, berada pada kedudukan strategik untuk terus meraih manfaat daripada peningkatan populasi rabun di Malaysia, berbekalkan penguasaan pasaran dan jenama yang kukuh.
Syarikat itu akan terus melaksanakan inisiatif pemasaran berkesan serta mengembangkan operasinya ke Malaysia Timur, kawasan yang masih ada saingan minimum; bagi mengukuhkan kedudukannya.
"Jualan korporat, yang kini menyumbang sekitar 7% kepada pendapatan segmen optikal, dijangka terus mencatat pertumbuhan memberangsangkan (1H25: meningkat lebih 70% YoY)," tambah firma tersebut.
Situasi positif tersebut katanya, turut disokong oleh trend ramai majikan yang menawarkan faedah optikal bagi menarik dan mengekalkan lagi bakat pekerja berpotensi di syarikat masing-masing.
Peningkatan volum jualan dan kuasa tawar-menawar yang lebih tinggi dijangka menyumbang kepada pengembangan margin yang berterusan, sekali gus mengimbangi kesan peningkatan kos operasi.
Dalam segmen F&B kata RHB Research, pihak pengurusan Focus Point dilaporkan sedang giat berunding untuk mendapatkan lebih ramai pelanggan baharu dan meningkatkan lagi penggunaan dapur pusat.
"Sementara itu, langkah pengembangan jenama Komugi akan dilakukan secara berhati-hati sejajar dengan sentimen pengguna yang masih lemah di pasaran pada ketika ini," tambah firma penyelidikan berkenaan.
Ia mengekalkan unjuran pendapatan serta penilaian berdasarkan kaedah diskaun aliran tunai (DCF), dengan harga sasaran 74 sen selepas mengambil kira diskaun ESG sebanyak 2%.
Penilaian ini mewakili 11.4 kali ganda perolehan bagi FY26, iaitu satu sisihan piawai lebih tinggi daripada purata, dan sejajar dengan penilaian sektor runcit pengguna lain di bawah liputan mereka.
RHB Research namun berkata, antara risiko utama dikenal pasti termasuk kelewatan dalam pelaksanaan pelan peluasan dan potensi kehilangan pelanggan korporat utama dalam segmen F&B. - DagangNews.com








