Lonjakan harga saham hadkan potensi kenaikan jangka pendek Oriental Kopi – MBSB Research | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Lonjakan harga saham hadkan potensi kenaikan jangka pendek Oriental Kopi – MBSB Research

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 27 Ogos – Walaupun Oriental Kopi Holding Berhad mencatat prestasi kewangan kukuh bagi suku kedua tahun kewangan 2025, lonjakan harga saham baru-baru ini mengehadkan potensi kenaikan dalam jangka masa terdekat, menurut MBSB Research.


Firma penyelidikan itu bagaimanapun mengekalkan saranan 'neutral' terhadap kaunter tersebut, dengan menaikkan harga sasaran (TP) sesaham kepada RM1.03 daripada 83 sen sebelumnya.


Peningkatan tersebut katanya, berdasarkan kepada penilaian unjuran 25 kali pendapatan untuk tahun  kewangan 2026 (FY26), berbanding anggaran firma itu sebelum ini hanya sebanyak 20 kali.


“Kami percaya premium penilaian ini wajar diberikan, memandangkan prospek pertumbuhan Oriental Kopi yang kukuh, disokong oleh peluasan pantas rangkaian kafe," jelas MBSB Research dalam nota kajiannya hari ini.


Selain itu, prospek berkenaan kata firma tersebut turut dibantu faktor pertumbuhan segmen barangan pengguna pantas bergerak (FMCG), peningkatan perbelanjaan pelancong serta peluang eksport makanan bungkus.


Bagi 3QFY25, kumpulan itu mencatatkan hasil sebanyak RM116.7 juta, meningkat 13.1% suku ke suku (QoQ), manakala keuntungan bersih teras melonjak 23.2% QoQ kepada RM18.1 juta, tidak termasuk perbelanjaan penyenaraian sekali di bursa sebanyak RM0.12 juta.


Situasi ini membawa jumlah keuntungan bersih teras 9MFY25 kepada RM46.2 juta, iaitu masing-masing 74% dan 75% daripada unjuran tahun penuh MBSB Research dan konsensus pasaran, sekali gus dianggap sejajar dengan jangkaan.


Segmen kafe terus menjadi penyumbang utama dengan hasil RM107.8 juta, bersamaan 92.4% daripada jumlah pendapatan suku tersebut. 


"Pertumbuhan disokong oleh peningkatan kehadiran pelanggan termasuk pelancong, serta pembukaan cawangan baharu sepanjang suku berkenaan," kata firma berkenaan.


Segmen FMCG pula merekodkan lonjakan 28.2% QoQ kepada RM8.2 juta, meningkatkan sumbangannya kepada 7% daripada hasil keseluruhan, berbanding 6.2% pada 2QFY25 dan 5.6% pada 1QFY25.


“Segmen FMCG membawa margin struktur yang lebih tinggi berbanding operasi kafe, sekali gus menyokong pertumbuhan keuntungan dan margin bersih kumpulan,” ujar MBSB Research.


Margin bersih teras kumpulan itu katanya, meningkat sebanyak 1.3 mata peratus kepada 15.5% pada 3QFY25, manakala margin bersih kumulatif 9 bulan kekal kukuh pada 14.6%.


Melihat ke hadapan, MBSB Research kekal optimis terhadap prospek pertumbuhan Oriental Kopi, dipacu oleh peluasan rangkaian kafe di kawasan bandar utama dan sumbangan yang semakin meningkat daripada segmen FMCG.


Syarikat berkenaan katanya, turut berhasrat memperluaskan rangkaian produk makanan bungkusannya termasuk produk bermusim seperti kuih bulan, selain meneroka peluang pengedaran ke luar negara.


“Inisiatif-inisiatif ini, bersama sokongan daripada trend penggunaan domestik yang kukuh, dijangka akan memacu pertumbuhan mapan dalam hasil dan keuntungan Oriental Kopi,” tambah firma itu. - DagangNews.com