KUALA LUMPUR 18 Sept – Infomina Berhad mampu mencatat keuntungan bersih yang lebih besar pada tahun kewangan 2027 (FY27), dipacu oleh faktor kemasukan ramai pelanggan baharu dari Jepun.
AmInvestment Bank Research (AmInvest) berkata, pertumbuhan positif tersebut turut didorong oleh pembaharuan kontrak utama yang terus menyokong aliran pendapatan kumpulan itu secara berulang.
Firma penyelidikan itu menambah, setakat ini syarikat penyedia rumusan teknologi itu kini sudah berjaya menembusi pasaran Jepun dengan memperoleh 10 pelanggan daripada lebih 40 prospek aktif.
"Situasi ini menyumbang RM6 juta hasil dalam FY25, malah bahagian pasaran Jepun dijangka meningkat kepada 8% daripada hasil FY26 dan mencecah 14% dalam FY27," kata AmInvest dalam nota kajiannya.
Perkembangan ini jelasnya, menjadikan Jepun pemacu pertumbuhan utama kumpulan itu dan kejayaan di negara itu bukan sahaja membuka pasaran baharu, malah mengukuh asas pertumbuhan jangka sederhana.
Berdasarkan keadaan itu, ia menyambung semula liputan ke atas saham Infomina dengan saranan 'beli' dan harga sasaran juga dinaikkan kepada RM1.70 sesaham, yang mewakili 25% potensi peningkatan.
AmInvest menegaskan, meskipun angka utama masih lemah, teras perniagaan syarikat itu kekal stabil, dipacu oleh kontrak pembaharuan sistem kerangka yang penting untuk sektor kewangan dan kerajaan.
"Sistem ini menguruskan fungsi teras seperti pembayaran, pengurusan identiti dan rekod transaksi, menjadikannya sukar dan mahal untuk diganti, sekali gus mencipta hasil berulang kukuh," katanya.
Langkah pembaharuan itu tambah firma tersebut, meningkatkan hasil Infomina pada kadar purata tahunan sebanyak 36% dari FY20 hingga FY25, dengan margin lebih tinggi berbanding projek baharu.
Kumpulan ini juga kata AmInvest, dijangka mencatat lonjakan untung 32% tahun ke tahun (YoY) pada FY27 kepada RM43 juta daripada pembaharuan dua kontrak utama merangkumi 35% asas pembaharuan.
Selain itu, firma berkenaan meramalkan keuntungan syarikat mampu meningkat didorong oleh faktor pertumbuhan hasil konsisten di Jepun dan peningkatan tahunan yuran pembaharuan sekitar 5%
"Dengan lonjakan pendapatan, saham Infomina dijangka kembali dinilai semula ke tahap perolehan purata lima tahun kumpulan iaitu 24 kali, menjadikan harga sasaran RM1.70 wajar dicapai," katanya.
Kumpulan tersebut tambah AmInvest, turut mengorak langkah ke arah usaha pendigitalan dan rumusan kecerdasan buatan (AI) antaranya melibatkan pemodelan risiko kredit dan pengesanan penipuan.
Syarikat itu katanya, turut aktif dalam melaksanakan sistem proses pinjaman secara automasi melalui platform ValuationXchange dan perkongsian strategik dengan firma data lokasi terkenal iaitu Geolytik.
Langkah ini tambah firma itu, dijangka meluaskan pasaran kumpulan di luar sektor kewangan dan kerajaan, sekali gus mencipta sumber pendapatan berulang lebih berimpak tinggi. - DagangNews.com








