KUALA LUMPUR 12 Feb — Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook mempertahankan keputusan kerajaan tetap melaksanakan liberalisasi industri pemeriksaan kenderaan bermotor dengan menamatkan monopoli yang telah lama wujud oleh Puspakom Sdn Bhd.
Beliau sebaliknya berkata, langkah pembukaan bebas sektor tersebut bakal menggalakkan banyak lagi syarikat tempatan memasuki pasaran serta berupaya menawarkan pengguna dengan pelbagai pilihan dan perkhidmatan pemeriksaan kenderaan yang lebih baik.
Reaksi itu ditegaskannya susulan pengumuman beliau sendiri pada Jumaat lalu mengenai pelantikan tiga penyedia baharu di bawah fasa pertama, yang berjaya dipilih melalui proses penilaian cukup ketat namun menerima pula maklum balas negatif dalam kalangan pengguna.
Tiga syarikat tersebut ialah Wawasan Bintang Sdn Bhd yang akan beroperasi di Pelabuhan Klang, Selangor; Gua Musang, Kelantan dan Mersing, Johor; Pakatan Petroleum Sdn Bhd (Rawang, Selangor dan Temerloh, Pahang) serta Beriman Gold Sdn Bhd (Kuching dan Serian, Sarawak).
Walaupun begitu ujar beliau, Puspakom, yang juga anak syarikat milik penuh DRB-Hicom Bhd itu, akan masih dapat meneruskan operasinya seperti biasa, tetapi selepas ini ia perlu bersedia untuk bersaing sengit dengan peserta baharu tersebut.
Menangani kebimbangan ramai mengenai isu kekurangan pengalaman tiga syarikat itu, Loke menegaskan bahawa tiada firma di Malaysia mempunyai kepakaran dalam pemeriksaan kenderaan secara berkomputer kerana monopoli Puspakom selama 30 tahun.
Beliau turut mempersoalkan mengapa kebimbangan yang sama tidak pernah pula dibangkitkan pihak berkenaan semasa Puspakom mula ditubuhkan pada 1994, walaupun ketika itu syarikat tersebut juga langsung tiada pengalaman dalam industri berkenaan.
"Bolehkah anda menamakan satu syarikat di Malaysia yang berpengalaman dalam bidang ini? Sudah tentu tiada kerana sehingga kini, industri itu dimonopoli cuma oleh sebuah syarikat. Sebabnya tiada yang lain berpengalaman dalam perkhidmatan ini.
"Pasaran kita tidak pernah pun dibuka — ia cuma dimonopoli habis di bawah konsesi kerajaan," katanya kepada pemberita selepas majlis pecah tanah hab logistik Exio Logistics Sdn Bhd, projek usaha sama di bawah IJM Corp Bhd di Shah Alam, Selangor.
Loke juga menafikan dakwaan oleh segelintir pihak bahawa kontrak telah diberikan kepada ketiga-tiga syarikat baharu ini, dan bertegas menjelaskan kekeliruan bahawa pihak Kementerian Pengangkutan hanya memberikan kelulusan secara bersyarat.
Beliau berkata mereka cuma ada dua tahun untuk menubuhkan pusat pemeriksaan, memasang peralatan yang diperlukan, dan memenuhi semua piawaian kawal selia sebelum Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan menjalankan pemeriksaan susulan.
“Tiada pun kontrak yang diberikan. Ia hanya ada selepas mereka memenuhi semua keperluan dan barulah lesen operasi boleh diberikan bagi memastikan segala pematuhan sebelum pengeluaran lesen operasi,” kata beliau.
Beliau juga menegaskan bahawa kerajaan tidak pernah memberikan sebarang sokongan kewangan kepada tiga syarikat ini, kerana semua pelaburan - termasuk urusan pengambilan tanah, jentera, dan pembinaan kemudahan sepenuhnya dibiayai mereka sendiri.
“Ini semata-mata pelaburan daripada mereka langsung, tanpa ada sebarang implikasi kewangan kepada pihak kerajaan dan perlu difahami dengan jelas," terang beliau merujuk salah faham yang ditularkan segelintir pihak menerusi platform media sosial.
Inisiatif Fasa 2 pula akan dibuka untuk permohonan dari 1 Mac hingga 31 Jun. Kerajaan sebelum ini mengumumkan, berkuat kuasa 1 September 2024, Puspakom tidak lagi memegang hak eksklusif untuk pemeriksaan berkala kenderaan bermotor untuk JPJ. - DagangNews.com








