Loji polisilikon berkuasa tenaga bersih pertama Asia Tenggara di Sarawak dapat sokongan pembiayaan Bank Dunia | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Loji polisilikon berkuasa tenaga bersih pertama Asia Tenggara di Sarawak dapat sokongan pembiayaan Bank Dunia

Loji polisilikon ultra-tinggi tulen baharu itu akan dibina berhampiran loji OCI TerraSus sedia ada di Simalajau Bintulu Sarawak. Gambar / Laman Web Ociterrasus
Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 30 Mac — Loji polisilikon berkuasa tenaga bersih pertama Asia Tenggara yang dibina di Sarawak mendapat sokongan pembiayaan daripada International Finance Corporation (IFC), cabang swasta Kumpulan Bank Dunia.

 

Fasiliti yang bakal dibina di Bintulu Sarawak dan dibangunkan oleh OCI TerraSus Sdn Bhd itu mendapat bantuan pinjaman sebanyak AS$125 juta (kira-kira RM502.7 juta) daripada IFC.

 

Loji yang akan menghasilkan polisilikon ultra-tinggi tulen — bahan yang digunakan dalam pengeluaran wafer silikon dan cip semikonduktor — akan dibangunkan melalui usaha sama dengan Tokuyama Corporation dari Jepun. Kerjasama itu dinamakan OCI Tokuyama Semiconductor Materials Sdn Bhd.

 

OCI TerraSus, yang sebelum ini dikenali sebagai OCI Malaysia, adalah anak syarikat kepada konglomerat Korea Selatan, OCI Holdings Company Ltd, yang terlibat dalam bahan maju, tenaga boleh diperbaharui, penyelesaian tenaga dan pembangunan bandar.

 

Sementara itu, Tokuyama Corporation yang berpangkalan di Tokyo menghasilkan bahan kimia dan merupakan salah satu pengeluar silikon terbesar di dunia.

 

Pengerusi OCI Holding dan OCI TerraSus, Lee Woo Hyun berkata, manfaat kerjasama ini melebihi sokongan terhadap infrastruktur fizikal sahaja.

 

“Ia merupakan pemacu utama dalam memperkukuh sistem pengurusan, amalan ESG (persekitaran, sosial dan tadbir urus) dan daya saing jangka panjang kami sebagai sebuah syarikat global.

 

“Seiring permintaan terhadap semikonduktor dan kecerdasan buatan meningkat, kepentingan bahan tulen tinggi akan terus meningkat," ,” katanya dalam kenyataan bersama yang dikeluarkan oleh OCI TerraSus dan IFC. 

 

Menurut Woo Hyun, kerjasama dengan IFC ini merupakan pengiktirafan terhadap penambahbaikan ESG kumpulan dan mengukuhkan keyakinan syarikat terhadap Sarawak dan Malaysia sebagai rakan strategik dalam rantaian nilai semikonduktor global.

 

Menurut laporan sebelum ini, loji ini akan dibina di tapak seluas 13.4 hektar di Taman Perindustrian Samalaju, Bintulu, bersebelahan dengan loji polisilikon gred solar sedia ada milik OCI TerraSus. 

 

Loji ini dijangka mempunyai kapasiti pengeluaran tahunan sebanyak 8,000 metrik tan polysilicon gred semikonduktor.

 

Operasi komersial penuh disasarkan bermula pada Januari 2029.

 

IFC menyatakan loji ini dijangka dijana oleh sumber tenaga boleh diperbaharui dan bertujuan menyokong usaha Malaysia memperkukuh kedudukannya dalam rantaian bekalan semikonduktor global, sambil mewujudkan peluang pekerjaan berkemahiran tinggi. - DagangNews.com