Lima lagi bekas perunding skim pelaburan kemuka sijil akademik palsu ditegur FIMM | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Lima lagi bekas perunding skim pelaburan kemuka sijil akademik palsu ditegur FIMM

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 15 Ogos — Lima bekas perunding skim unit amanah (UTS) dan skim persaraan swasta (PRS) ditegur Persekutuan Pengurus Pelaburan Malaysia (FIMM) kerana isu sijil akademik palsu.

 

Kesemuanya didapati melakukan pelanggaran peraturan tersebut dalam permohonan mereka untuk proses pendaftaran atau pendaftaran semula sebagai perunding UTS atau PRS kepada pengedar masing-masing.

 

FIMM berkata, salah laku itu melanggar Peraturan 4.1.1, 4.2.1 dan 4.3.1(f) dengan mereka dihalang daripada mendaftar permohonan untuk tempoh tetap selama setahun, yang berkuat kuasa pada 10 Julai 2025.

 

“Teguran awam ini dikenakan bagi menghantar mesej keras bahawa FIMM mengambil tindakan terhadap mereka yang gagal dalam mematuhi mana-mana peraturan dikeluarkan," katanya dalam satu kenyataan.

 

Antara mereka termasuk tiga bekas perunding daripada firma Public Mutual Berhad iaitu Rahmat Anuar (UTS dan PRS), Mohammad Faarid Khalid (UTS dan PRS) serta Nur Maisarah John Abdullah (UTS).

 

Turut dikenakan tindakan sama ialah Ahmad Rozailal Abdul Latiff dari Kenanga Investors Berhad (UTS) serta bekas perunding pengurusan RHB Asset Management Sdn Bhd (UTS dan PRS), Mazni Ismail.

 

Mengulas lanjut, FIMM berkata, langkah tegas tersebut bertujuan menghalang perunding UTS atau PRS terbabit daripada melakukan sebarang salah laku dan sebagai usaha untuk mengingatkan yang lain.

 

"Perunding adalah penting untuk mematuhi peraturan FIMM apabila memasarkan dan mengedarkan dua produk itu di Malaysia demi melindungi kepentingan orang ramai yang ingin melabur," katanya.

 

FIMM menambah, isu salah laku itu dilaporkan sendiri oleh orang ramai dalam kes Rahmat, Faarid dan Nur Maisarah, manakala kes Ahmad Rozailal dan Mazni dikesan secara dalaman. - DagangNews.com