KUALA LUMPUR 27 April - Solarvest Holdings Bhd mengumumkan peletakan jawatan Liew Chee Ing sebagai pengarah eksekutif dan ketua pegawai strategi kumpulan berkuat kuasa 30 Jun 2026.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, syarikat kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) tenaga boleh baharu itu berkata keputusan tersebut dibuat atas faktor komitmen peribadi.
Chee Ing menyertai Solarvest pada 2021 sebagai ketua pegawai strategi sebelum dilantik sebagai pengarah eksekutif pada September 2023.
Sebelum itu, beliau mempunyai pengalaman luas dalam industri minyak dan gas serta utiliti, termasuk berkhidmat selama tujuh tahun di Schlumberger Ltd dan tiga tahun di Sarawak Energy Bhd.
Sementara itu, saham Solarvest susut tiga sen atau 1.05% kepada RM2.82 pada sesi dagangan tengah hari Isnin, menjadikan permodalan pasaran syarikat sekitar RM2.7 bilion.
Solarvest merupakan antara pemain utama dalam sektor tenaga boleh baharu di Malaysia, dengan fokus kepada pembangunan sistem solar fotovoltaik untuk segmen komersial, perindustrian dan utiliti berskala besar.
Kumpulan itu juga aktif mengembangkan kehadiran di peringkat serantau, termasuk di Asia Tenggara, selaras dengan peningkatan permintaan terhadap penyelesaian tenaga bersih dan peralihan tenaga global.
Solarvest turut aktif di Sarawak melalui beberapa kontrak utama, terutamanya pembinaan loji solar berskala besar.
Antara projek utama termasuk usaha sama dengan Press Metal untuk membangunkan loji solar 100MW di Mukah bernilai RM380 juta serta satu lagi projek 200MW bersama Malakoff, yang merangkumi perjanjian pembelian tenaga (PPA) 30 tahun bersama Sarawak Energy. - DagangNews.com








