Lianson Fleet terbit 25.2 juta saham bernilai RM22.2 juta ambil alih 2 syarikat Yinson Capital | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Lianson Fleet terbit 25.2 juta saham bernilai RM22.2 juta ambil alih 2 syarikat Yinson Capital

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 9 Jan – Lianson Fleet Group Berhad melaksanakan dua terbitan khas berjumlah 25.2 juta saham bagi membiayai cadangan pengambilalihan dua syarikat milik Yinson Capital Sdn Bhd.


Kumpulan tersebut berkata, ia melibatkan nilai keseluruhan RM22.2 juta, dengan pengambilalihan yang pertama akan melibatkan 100% kepentingan dalam Yinson Port Ventures Pte Ltd (YPVPL).


Proses itu jelas syarikat berkenaan, bakal dilaksanakan melalui pembelian satu saham biasa dan 10.29 juta saham keutamaan boleh tebus boleh tukar (RCPS) dengan nilai sebanyak RM15.8 juta.


"Urus niaga dibuat sepenuhnya melalui penerbitan sebanyak 17.95 juta saham baharu Lianson Fleet pada harga terbitan 88 sen sesaham," katanya dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.


Bagi pengambilalihan kedua pula, kumpulan itu memperoleh 100% ekuiti dalam Yinson Premier Limited (YPL) melibatkan satu saham biasa dan 1.7 juta RCPS, dengan nilai pembelian RM6.4 juta.


Sebagai balasan jelasnya, Lianson Fleet akan menerbitkan kira-kira 7.27 juta saham baharu, juga pada harga 88 sen sesaham, yang bakal menambahkan keseluruhan sahamnya kepada 1.15 bilion unit.


Susulan dua transkasi itu, modal saham terbitannya mencecah RM907.9 juta, dengan semua saham baharu yang diterbitkan bakal disenaraikan dan didagangkan di Bursa Malaysia pada 12 Januari 2026.


"Pengambilalihan ini adalah sebahagian strategi kumpulan memperkukuh pegangan pelaburan dan memperluaskan portfolio perniagaan, selaras dengan hala tuju pertumbuhan jangka panjang," katanya.


Tambah Lianson Fleet, dari sudut pelabur pula, penerbitan sejumlah 25.2 juta saham baharu ini membawa kepada pencairan pegangan saham sedia ada, namun kesannya dianggap masih lagi terkawal.


Ini memandangkan saham diterbitkan pada harga 88 sen sesaham, hampir dengan paras pasaran, namun secara strategik, urus niaga ini membolehkan ia meraih kepentingan penuh entiti berkaitan Yinson.


Usaha itu dibuat tanpa aliran keluar tunai, sekali gus memperkukuh kedudukan aset dan membuka potensi sumbangan pendapatan baharu dalam jangka sederhana hingga panjang. - DagangNews.com